“Sayunya Hati…Ya Allah, Kami Rindukan Ramadan Kami…” – Luahan Ashraf Muslim Menjelang Ramadan
Tinggal Sembilan hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Ramadan dan sudah tentu tahun ini perbezaannya akan amat dirasai.
Pandemik COVID-19 menyebabkan solat beberapa buah negeri membatalkan solat tarawih dan bazar Ramadan di seluruh negara pula dibatalkan.
Pelakon Ashraf Muslim dua hari lalu telah memuat naik posting di laman sosial Instagram (IG) meluahkan rasa pilunya menjelang Ramdan tahun ini.
Menerusi posting tersebut Ashraf membayangkan ibadah puasa tahun ini lebih sayu tidak dapat berbuka dan solat tarawih bersama keluarga serta rakan di masjid.
“Assalamualaikum semua..Sedar tak kawan-kawan lagi 11 hari lagi nak Ramadan. Sayunya hati. Adakah kita tidak dapat bertarawih di masjid? Dan tidak dapat berbuka puasa di masjid beramai-ramai bersama ahli keluarga dan kawan-kawan?
“Ya Allah engkau tarik nikmat dengan sekejap sahaja. Kami rindukan ramadan kami. Kami mohon ampun di atas kesalahan kami yang kami lakukan sebelum ini.
“Kami yang banyak bersalah kerana solat lambat, tak patuh atas arahanMu, jarang membaca al-Quran, lupa untuk berzikir dengn zikir laillahaillah, kami melakukan maksiat mata, tangan dan tubuh badan kami, kami melanggar fitrah yang telah ditetapkan olehMu, kami sombong dengsnmu dan kami tidak menghormati antara kami manusia.
“Maafkan kami ya Allah, kami hamba yang lemah dan ingin dekat denganmu,” tulisnya.
Menerusi ruangan komen, pengikut turut berasa sebak dan sayu dengan luahan Ashraf dan turut mendoakan keselamatan semua menempuhi dugaan COVID-19 ini.
Dalam pada itu ada juga yang bertanya tentang kesihatan diri Ashraf kerana dia di antara pelakon yang terlibat dengan penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland pada awal Mac lalu.
Ada khabar angin mengatakan Ashraf kini dirawat di salah sebuah hospital kerajaan kerana turut dijangkiti COVID-19.
Bagaimanapun Ashraf tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan dakwaan terbabit.