Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Selain Sunway Pyramid, Kakitangan NU Sentral Juga Disahkan Positif Covid 19

Maliah Surip
27/09/2020 14:37 MYT
Perkembangan pandemik Covid 19 di Malaysia pada hari ini menunjukkan peningkatan kembali kepada tiga angka.

Di antara 150 kes baharu yang dilaporkan, terdapat dua kes yang dikesan dari dua pusat belah belah iaitu Sunway Pyramid di Selangor dan NU Sentral di Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial pada Ahad, pengurusan pusat beli belah NU Sentral di Kuala Lumpur mengesahkan seorang kakitangannya positif Covid-19 pada Sabtu.

Keterangan tersebut juga memaklumkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan pengesanan kontak rapat termasuk kakitangan pengurusan yang sudah menjalani ujian Covid-19.

"Ujian pertama menunjukkan kesemua mereka negatif, tetapi semua kakitangan telah diarahkan menjalani kuarantin 14 hari," kata kenyataan itu.

Berikutan itu, proses disinfeksi segera dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kami akan terus mengambil langkah pencegahan yang diperlukan di mana keselamatan pekerja, rakan perniagaan dan orang ramai sangat penting bagi kami," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu pihak pengurusan Sunway Pyramid juga menerusi kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan seorang kakitangan di sebuah premis di pusat beli-belah itu positif Covid-19 pada Sabtu.

Kakitangan dari premis Nike berkenaan dilaporkan mempunyai 'sejarah perjalanan'.



Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit, dan diarahkan menjalani proses saringan dan kuarantin.

"Kami mahu memastikan semua penyewa, vendor dan pelanggan bahawa kes itu tersebut adalah kes terpencil, dan telah diatasi segera setelah dikenal pasti bersama dengan penyewa yang berkaitan, dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," tulis pengurusan pusat beli-belah itu di halaman Facebook, pada Sabtu.

Pengurusan Sunway Pyramid juga mengatakan pihaknya telah melakukan proses nyah kuman dan pembersihan di premis berkenaan.

Setakat Ahad, jumlah terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 150 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,919 kes dengan sebanyak 146 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 124 warganegara Malaysia dan 22 bukan warganegara.

Kredit Foto: Malaysia Gazzette, The Star
#COVID 19 #NU Sentral #Sunway Pyramid