Covid-19
“Selepas 100 Tahun, Ini Kali Pertama Bubur Lambuk Kampung Baru Tak Dapat Diedarkan Kerana PKP” – Tukang Masak
Tukang Masak bubur lambuk Kampung Baru, Zainal Abidin Hamid, 65, sedih juadah popular Ramadan itu tidak dapat diedarkan pada tahun ini akibat pandemik COVID-19.
Zainal Abidin juga reda jika bubur lambuk Kampung Baru tidak dapat diedarkan kepada masyarakat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa.
Katanya selepas 100 tahun dibuat dan diedarkan kepada masyarakat ini pertama kali jemaah masjid Kampung Baru tidak dapat berbuat demikian.
“Ini kira sejarah. Walaupun sedih, saya tetap reda dengan apa yang berlaku dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Berkongsi kisah kewujudan bubur lambuk di kampung berkenaan, Zainal berkata, ia bermula sejak 100 tahun dulu apabila jemaah masjid bersepakat membuat bubur lambuk.
“Saya adalah generasi keempat dan resipi keenakan bubur lambuk adalah turun temurun dari jemaah masjid yang lain.
“Kebiasaannya kami akan mengedarkan 4,000 bubur lambuk setiap hari pada bulan Ramadan setiap tahun, namun kali ini berbeza, hanya tinggal periuk kosong sahaja,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun orang ramai yang ingin merasai keenakan bubur lambuk boleh membuat tempahan kepadanya.
“Ramai orang yang menghubungi saya bertanya mengenai bubur lambuk pada tahun ini, sebab itu saya terima tempahan dengan kuantiti sedikit.
“Sekurang-kurangnya dapat melepaskan kerinduan masyarakat terhadap bubur lambuk Kampung Baru,” katanya.
Sumber/Foto: Harian Metro