Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Si Comel Bertubuh Gempal, Jaga-Jaga! Obesiti Jadi Risiko Besar Jika Dijangkiti COVID-19

Kamaruddin Razal
09/04/2020 03:27 MYT
Orang yang berlebihan berat badan berisiko tinggi jika dijangkiti koronavirus dan Amerika Syarikat (AS) berada dalam situasi bahaya kerana tahap obesiti sangat tinggi di negara itu, ujar ketua epidemiologi Perancis pada Rabu, lapor Astro Awani.

Reuters melaporkan Profesor Jean-François Delfraissy yang mengetuai majlis saintifik bagi menasihati kerajaan berkaitan epidemik itu berkata seramai 17 juta daripada rakyat Perancis yang berjumlah 67 juta berisiko tinggi terhadap COVID-19 disebabkan faktor usia, sudah mempunyai penyakit tertentu, dan juga obesiti.

"Virus ini sangat dahsyat. Ia boleh menjangkiti orang muda, khususnya orang muda yang obes. Mereka yang berlebihan berat badan perlu berhati-hati.

“Sebab itulah kita bimbang pada rakan-rakan kita di Amerika, yang terkenal dengan masalah obesiti, dan mereka mungkin mempunyai banyak masalah yang disebabkan obesiti,” ujar Delfraissy.
Delfraissy berkata 88 peratus daripada mereka yang dijangkiti koronavirus hanya mengalami simptom seperti selesema teruk.


Kadar kematian bagi orang muda yang dimasukkan ke hospital dengan penyakit pernafasan teruk akibat COVID-19 adalah 2 peratus. Namun, ia boleh meningkat sehingga 14 peratus bagi mereka yang lebih lemah.

Walaupun penularan COVID-19 di Perancis agak pantas, negara itu masih jauh daripada sampai ke tahap 50 peratus hingga 60 peratus populasinya dijangkiti dan sembuh, hingga pada tahap tertentu paras ‘imuniti berkumpulan’ dicapai, jelas Delfraissy.

"Data awal menunjukkan bilangan mereka yang memiliki imuniti lebih rendah daripada yang kami bayangkan, iaitu kira-kira 10-15 peratus,” ujar pakar penyakit berjangkit itu yang pernah mengetuai penyelidikan Perancis tentang Ebola dan AIDS.

Tambahnya, masih awal untuk mengakhiri perintah kawalan pergerakan di Perancis, yang bermula pada 17 Mac lalu dan dijadual sehingga sekurang-kurangnya 15 April.

Kepada pembaca Gempak, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Reuters / Astro Awani
#Obesiti #COVID-19