Covid-19
Tiada Bazar Ramadan Ketika COVID-19? Jangan Risau, Anda Mungkin Gembira Dengan Usaha Terbaru Ini...
Ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dijalankan, pastinya yang banyak menjadi keluhan orang ramai adalah ketiadaan bazar Ramadan.
Malah, kerajaan sebelum ini telah pun memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan selagi PKP dilaksanakan.
BACA: “Tiada Bazaar Ramadan Di Seluruh Negara Selagi PKP Dijalankan” – Ismail Sabri
Tapi apakah jalan penyelesaian yang terbaik?
Terbaru kerajaan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini mengumumkan kerjasama mereka bersama Grab Malaysia untuk membentuk 'E-Bazaar'.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan, Ketua Grab Malaysia Sean Goh, berpendapat kaedah terbaru ini merupakan satu cara terbaik untuk menguruskan penghantaran barang ketika Ramadan tidak kiralah juadah bazar atau pakaian Hari Raya.
Jelasnya, selain daripada negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Grab juga aktif berbincang dengan majlis tempatan lain mengenai kemungkinan mendigitalkan peniaga bazar Ramadan tempatan untuk melindungi pendapatan usahawan-usahawan mikro ini.
"Grab juga mempunyai dua inisiatif lain iaitu bekerjasama dengan pelbagai pilihan restoran sedia ada seperti ayam percik, murtabak dan roti john supaya boleh didapati di GrabFood tepat pada masanya apabila bulan puasa bermula.
"Kami mengalu-alukan penjual di laman sosial dan usahawan mikro berpangkalan di rumah di seluruh Malaysia untuk menggunakan rangkaian rakan pengantar yang lebih daripada 100,000 di seluruh negara.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan majlis tempatan yang lain untuk membawa makna dan pengalaman baru kepada Ramadan di seluruh Malaysia,” katanya.
Semoga usaha dilakukan ini sedikit sebanyak meringankan beban peniaga bazar Ramadan dan pada masa sama memberi pilihan yang meluas untuk pengguna.
Must-Watch Video