Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tidak Dapat Bertemu Dengan Orang Lain .." - Tun Mahathir Kuarantin Diri Secara Sukarela

Zulaikha Yusof
20/03/2020 02:16 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikuarantin selepas berada dalam kontak dekat dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang disahkan positif COVID-19.

Menurut jurucakapnya, Dr. Mahathir kini sedang dikuarantin di rumahnya.

Memetik temu bual bersama sebuah program berita stesen televisyen swasta, Dr. Mahathir berkata, langkah mengasingkan diri atau kuarantin amat penting bagi menangani penyebaran COVID-19.

"Kita mesti melakukan kuarantin sendiri di rumah selama 14 hari. Jika kita berbuat demikian, kita mengurangkan kemungkinan virus itu akan tersebar kepada orang lain," kata Dr Mahathir.

Tambahnya, beliau mengikuti langkah yang disaran kerajaan termasuk tidak bertemu sesiapa.

"Jadi, sekarang saya berada di rumah sahaja. Saya tidak boleh keluar dan saya tidak dapat bertemu dengan orang lain, saya tidak boleh berjabat tangan, dan yang lain," kata Dr Mahathir.

Beliau pada masa sama mengakui, ia tidaklah sukar umtuk mengikuti semua langkah terbabit.

Dr. Mahathir dipercayai mengambil gambar dengan Dr Kelvin Yii, yang kini berada di bawah kuarantin di Hospital Umum Sarawak (SGH).

Dr Yii disahkan positif COVID-19 pada 17 Mac, selepas berkontak rapat dengan Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu, yang disahkan positif virus tersebut pada 2 Mac lalu.



Sumber: Astro Awani
#Tun Mahathir #Kuarantin #COVIC-19
;