Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Ujian Saringan Parlimen: “Lima Sampel Disahkan Varian Delta” - Dr Noor Hisham

Awani
10/08/2021 21:07 MYT
Lima sampel kes positif COVID-19 hasil ujian saringan di Parlimen baru-baru ini disahkan adalah daripada varian Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di laman Twitter berkata, pengesahan itu hasil keputusan jujukan genom penuh yang dijalankan ke atas sampel tersebut.

"Penjujukan genom penuh mengesahkan lima kes yang disyaki sebagai varian Delta sebelum ini hasil ujian RT PCR dengan nilai CT (Cycle Threshold) yang amat rendah, sekali gus menunjukkan kadar kandungan virus yang sangat tinggi.

"Varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding bukan varian membimbangkan (VOC)," katanya dalam entri tersebut.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan enam sampel kes positif COVID-19 daripada saringan di Parlimen berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Katanya, varian itu dikesan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

Setakat ini, sebanyak 85 kes positif COVID-19 yang disahkan dengan ujian RT-PCR telah dilaporkan membabitkan Parlimen.

BACA: Parlimen: Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19 – Sumber

Astro AWANI semalam turut melaporkan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia pada Isnin dipercayai akibat COVID-19.

DIfahamkan, Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah hadir ke Kompleks Parlimen sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.


#Parlimen #COVID-19 #Dr Noor Hisham #Ketua Pengarah Kesihatan #Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah #Varian Delta