Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Vaksin Sinovac, Pfizer Sama Berkesan” - Dr Noor Hisham

Mya Amri
21/07/2021 07:48 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan data perubatan menunjukkan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac mempunyai tahap keberkesanan yang sama dalam melawan virus COVID-19.

Menurut Dr Noor Hisham, perkara itu dibuktikan menerusi data perubatan yang menunjukkan keberkesanan vaksin Sinovac dalam penggunaan secara praktikal.

Menerusi hantaran di akaun Instagramnya, beliau juga turut berkongsi laporan mengenai penggunaan Sinovac di Chile yang diterbitkan oleh Jurnal Perubatan New England pada 7 Julai lalu.

"Data membuktikan tidak banyak perbezaan yang ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan secara praktikal.

“Kedua-duanya sangat berkesan untuk mencegah penyakit teruk sehingga dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan menentang gejala ringan atau tidak bergejala.

“Sinovac juga didapati dapat mengurangkan jangkitan COVID-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

"Ia juga mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus," jelasnya.

Terdahulu, timbul spekulasi terhadap keberkesanan vaksin jenis Sinovac selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini melaporkan Malaysia akan menghentikan penggunaan Sinovac selepas bekalannya habis kerana mempunyai jumlah vaksin lain yang mencukupi untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

kredit foto: The Star, new.yahoo.com

#Vaksin #Ketua Pengarah Kesihatan #pfizer #Sinovac #Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah