Covid-19
Vicha Reda Tak Balik Beraya Dengan Anak-Anak Di Indonesia
Pelawak berasal dari Indonesia, reda tidak dapat pulang berhari raya bersama anak-anaknya di Bandung.
Vicha berkata hasratnya untuk menyambut Syawal bersama permata hati kesayangan terbantut gara-gara pandemik COVID-19.
“Setiap tahun saya akan pulang seminggu sebelum raya untuk bersama dengan anak-anak. Tapi kali ini semuanya berbeza.
“Kalau diikutkan hati memang sedih, tapi apa kan daya…Perintah kerajaan perlu dipatuhi demi kebaikan bersama,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun kata Vicha, setiap hari dia berhubung dengan anak-anak menerusi panggilan video untuk melepaskan kerinduan.
Apa yang menyentuh perasaan, anak-anak Vicha faham situasi dilalui ibu mereka dan menerima ketentuan Allah ini dengan hati terbuka.
“Menangis saya kalau nak cerita. Setiap kali buat panggilan video saya sebak tengok wajah mereka. Saya rindu sangat, tapi saya harus reda.
“Anak-anak juga seolah-olah faham keadaan saya, malah mendoakan keselamatan dan kesihatan saya di sini,” luahnya sebak.
Tambah Vicha lagi, ada hikmah disebalik setiap yang berlaku kerana sepanjang berada di Malaysia dan tidak boleh pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia memberi tumpuan kepada perniagaan Bakso Beranak KL.
“Alhamdulillah, rezeki PKP. Perniagaan bakso saya berjalan seperti biasa. Malah, bila duduk di rumah timbul macam-macam idea untuk tambah menu.
"Lagi pula sekarang sudah dibenarkan membuka premis perniagaan. Jadi Bakso Beranak KL di Lepaking, Gombak dan Enjoy's Corner, Melawati sudah beroperasi seperti biasa, mengikut SOP.
“Terima kasih kepada yang sentiasa menyokong saya. Ada juga duit raya untuk anak-anak nanti, biar tak banyak, asalkan ada.
“Saya nak balik kampung jumpa mereka selepas semua ini (PKP) berakhir,” katanya positif.
Must-Watch Video