Covid-19
Wah, Bersiap Sedia! Pengedaran Topeng Muka Percuma Untuk Rakyat Bakal Diumum Esok!
Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, terdapat satu masalah yang sering didengari daripada orang ramai.
Kekurangan topeng muka!
Banyak pihak yang mengeluh dan membangkitkan hal ini kerana masing-masing mahu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
Berita baik untuk anda semua! Kerajaan akan mengumumkan proses pengedaran topeng muka secara percuma untuk rakyat esok, 8 April 2020!
Memetik laporan Astro AWANI, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan turut mengumumkan jumlah Tabung COVID-19 pada hari yang sama.
"Esok saya akan umumkan jumlah kutipan Tabung COVID-19 dan pelaksanaan setakat hari ini. Saya juga akan umumkan proses pengedaran topeng muka yang dijanjikan kerajaan untuk diedarkan secara percuma kepada rakyat," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Dilaporkan, topeng muka itu akan diberikan secara percuma dan bakal memberi manfaat kepada 8.3 juta isi rumah.
Pengagihan itu katanya akan dibuat secara berperingkat-peringkat, dengan berpandukan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai siapa yang sewajarnya mendapat topeng muka berkenaan.
Sumber: Astro AWANI.