Covid-19
"Yang Degil-Degil Tu Memang Patut 'Hangkut' Masuk Lokap, Padan Muka!" – Zizi Kirana
Penyanyi rap popular Zizi Kirana mengakui kecewa dengan sikap endah tak endah segelintir masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
Zizi ketika diminta mengulas mengenai hampir 400 orang awam ditangkap kerana ingkar PKP, menyokong tindakan bahagian pertahanan negara ‘menyumbat’ mereka ke dalam lokap.
“Kita sudah memasuki fasa kedua PKP, saya harap yang keras -keras kepala ini insaflah. Fikir pengorbanan orang lain.
“Mereka berpanas, berhujan, tak cukup tidur untuk rakyat. Tapi masing-masing buat endah tak endah.
“Macam inilah, nasihat saya kalau dah nak keluar sangat keluar je lah…tapi jangan balik rumah duduklah dekat tepi jalan, tepi pokok duduk kat situ.
“Tak payah balik rumah kesian dengan anak isteri, mak bapak kalau dia bawa balik penyakit ke rumah.
“Tak tahu nak cakap macam mana lagi! Kesian dekat frontliners yang bertugas bermati-matian tapi orang-orang yang keras kepala ni merumitkan lagi keadaan.
"Entah kepala apa yang mereka pakai! Hargailah pengorbanan orang lain. Kesian mereka, kesiankan diri sendiri.
"Yang degil-degil ni memang elok polis angkut pergi lokap! Padan muka! Degil lagi,” katanya geram.
Dalam perkembangan lain Zizi baru sahaja melancarkan lagu berjudul ‘Cuci Tangan’ untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan terutama pada masa sekarang.
Zizi berkata, lagu asal ‘Cuci Tangan’ adalah dari Vietnam berjudul Washing Hand dan dinyanyikan semula dalam bahasa Melayu bersama penyanyi dari Brunei Syafiq Abdillah.
“Idea timbul masa label Web TV Asia buat lagu Washing Hand versi Vietnam bulan lepas. Dan lepas lagu tu jadi viral di sana label terus proposed untuk buat versi bahasa Melayu.
“Jadi, saya dan Syafiq Abdillah diberi tanggungjawab untuk menyanyikan lagu tersebut dalam versi bahasa Melayu dan liriknya ditulis Syafiq.
“Kita record lagu ni asing-asing…Saya di KL dia di Brunei. Saya harap mesej dapat disampaikan dengan meluas dan cepat di dua negara ini serta ke negara-negara lain juga,” katanya bersemangat.
Dalam pada itu Zizi sempat berkongsi bakal berkolaborasi dengan lagenda industri nyanyian tanah air selain bakal muncul dalam drama bersiri, program travelog dan beberapa program lain yang dihoskan olehnya.
“Alhamdulillah, rezeki saya…Terima kasih yang menyokong saya selama ini,” katanya.
Zizi bakal muncul dalam program #ArtisDudukDiam bersama Gempak di Instagram (IG) Live Astro Gempak pada Ahad, 12 April jam 3 petang.
Must-Watch Video