Dansa and Sing
Akui Tenaga Tak Sehebat Peserta Muda, Atilia Mahu Usaha Lebih Keras Dalam Dansa Dan Sing!
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Atilia Haron, 36, akui tenaga yang dimilikinya tidak sama seperti peserta lain yang lebih muda dalam pertandingan itu.
Menurut Atilia, memandangkan tahap kecergasannya sudah mula menurun, dia harus berusaha untuk lakukan lebih baik dalam konsert akan datang.
"Saya akan membuat banyak latihan untuk meningkat kecergasan, tahap kecergasan saya tidak sama dengan peserta lain yang lebih muda.
"Saya masih ingat bagaimana tenaga saya ketika usia 20-an dahulu, memang cergas," ujarnya berseloroh.
Atilia berkata demikian ketika ditemui di sidang media selepas tamatnya konsert pertama Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu.
Tambah Atilia yang diiringi oleh Yasmin Hani & The Lola sebagai skuad dalam pertandingan itu, mereka semua perlu memperbaiki kesilapan dan lakukan lebih baik dalam konsert akan datang.
"Kami harus kejar dan betulkan apa yang salah supaya dapat lakukan dengan lebih baik dalam konsert akan datang, saya pula harus memperbaiki teknik vokal dalam nyanyian saya," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!