Dansa and Sing
"Banyak Dugaan...Minggu Paling Teruk" - Wani Kayrie
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Wani Kayrie akui reda jika dia betul-betul tersingkir di konsert suku akhir baru-baru ini.
Di penghujung konsert itu, Wani dan ahli kumpulannya Delitz telah diumumkan tersingkir, namun ia hanya gimik dan mereka masih berjaya mara ke peringkat seterusnya.
"Ketika diumumkan tersingkir itu, saya senyum sahaja dengan hati yang sudah reda.
"Sebenarnya, banyak dugaan yang kami lalui dalam minggu suku akhir ini, banyak perkara yang saya harus uruskan seperti perubahan di saat akhir dan pemilihan artis jemputan.
"Ada juga selisih faham yang berlaku dalam kumpulan kami memandangkan ada penambahan penari dan macam-macam lagi, boleh dikatakan ini minggu yang paling teruk pernah kami lalui," jelas Wani.
Wani berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert suku akhir Dansa Dan Sing bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Ahad.
Tambah Wani, pada mulanya dia mahu memilih Stacy untuk ditampilkan sebagai artis jemputan dalam persembahannya, namun hasrat itu tidak berjaya.
"Pada mulanya, saya mahu memilih Stacy untuk bergandingan bersamanya dalam persembahan kali ini, namun Stacy tidak dapat menyertai kami disebabkan terlibat dengan urusan lain," tambahnya.
Dalam Dansa Dan Sing, koreografer terkenal Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video