Dansa and Sing
Disamakan Dengan Tiang Elektrik, Chubb-E Tak Tersinggung Dengan AC Mizal
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Chubb-E tidak tersinggung dengan komen juri jemputan, Datuk AC Mizal dalam konsert minggu ketiga malam tadi.
Komen AC yang menyamakan Chubb-E dengan tiang elektrik dan buluh dianggap telah mempersendakan bentuk tubuh penyanyi itu oleh kebanyakan netizen di Twitter.
"Bila awak pakai macam tu, nampak macam tiang elektrik, tak tahu tangan atau buluh yang besar," kata AC ketika memberi komen pada persembahan Chubb-E malam tadi.
Namun menurut Chubb-E, dia menyifatkan komen tersebut berbentuk jenaka dan menerimanya dengan positif.
"Saya tahu Datuk AC Mizal adalah seorang pelawak, saya menerima komen yang diberikan dengan positif kerana saya memang merasakan ia kelakar, memang betul pun saya kurus.
"Saya berfikiran terbuka, jika orang bercakap tentang saya dalam bentuk jenaka, saya terima sahaja, apa yang penting saya mahu fokus dalam pertandingan ini," ujarnya.
Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Ashlyn berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert minggu ketiga Dansa Dan Sing bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam malam tadi.
Tambah Chubb-E, dia berpuas hati dengan persembahan bersama skuad Zeppo Youngsterz Crew pada konsert kali ini.
"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan persembahan kami kali ini, walaupun berlatih dalam masa dua hari sahaja namun kami semua gembira kerana dapat membuat persembahan dengan baik," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video