Dansa and Sing
Ditegur Tentang Ekspresi Wajah Di Atas Pentas, Ini Komen Raja Syahiran...
Peserta Dansa Dan Sing, Raja Syahiran sudah mempelajari maksud lagu Ringa Linga nyanyian asal Taeyang yang telah dipersembahkan di konsert kelima pertandingan itu Ahad lalu.
Malam itu, juri jemputan Mark Adam mengatakan Syahiran perlu belajar lebih tentang ekspresi wajah ketika membuat persembahan.
Apabila ditanya mengenai hal itu, Syahiran berkata, tahap pemahamannya terhadap lirik lagu tersebut tidak sama seperti dia memahami lagu bahasa ibunda.
"Saya ada belajar maksud lagu ini, namun tahap pemahaman saya tidak sama seperti saya faham lagu bahasa sendiri.
"Mungkin itu merupakan salah satu sebab saya kurang menyerlahkan ekspresi wajah ketika menyanyikannya," jelas Syahiran.
Dalam pada itu, koreografer kumpulan 2Twenty2 Squad yang mengiringi Syahiran dalam pertandingan itu, Faruq Suhaimi turut memberi kenyataan.
"Sebenarnya, kalau diikutkan, ekspresi wajah Taeyang ketika membuat persembahan memang begitu, dia hanya berwajah selamba tanpa membuat ekspresi berlebihan," ujarnya.
Dalam konsert minggu kelima itu, semua peserta telah membuat persembahan dengan mengambil 'trademark' asal sesebuah lagu, dan pada masa yang sama turut menyelitkan identiti tersendiri.
Koreografer terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!