Dansa and Sing
"Mereka Kena Menyanyi...Bukan Konsert Dua Jam" - Syafinaz Komen Tentang Teknik Nyanyian 'On Top' Dalam Dansa Dan Sing
Penyanyi, guru vokal dan juri jemputan Dansa Dan Sing minggu keempat, Datuk Syafinaz Selamat berpendapat semua peserta dalam program itu harus menyanyi dengan sebaiknya tanpa menggunakan teknik tindihan suara atau 'on top'.
Menurut Syafinaz, semua peserta harus bijak menguasai cara-cara menyanyi sambil menari.
"Dansa Dan Sing merupakan satu pertandingan, mereka harus menyanyi dengan betul, menyanyi sambil menari bukanlah satu perkara yang tak boleh dilakukan, lagipun persembahan mereka tidak lama, bukanlah konsert dua jam.
"Apa yang penting, semua peserta harus bijak menguasai teknik menyanyi sambil menari," jelasnya.
Syafinaz berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert minggu keempat bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Ahad.
Tambah Syafinaz, koreografer juga harus peka dengan kebolehan penyanyi dalam kumpulan mereka.
"Setiap koreografer harus peka dengan kebolehan penyanyi dalam kumpulan mereka kerana ada pergerakan yang tidak sesuai dilakukan ketika menyanyi.
"Pada masa yang sama, penyanyi juga harus sedar dengan tahap kemampuan mereka, perkara inilah yang mereka harus bincangkan sebelum membuat persembahan," ujarnya lagi.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen tersohor, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!