Dansa and Sing
"Saya Agak Tertekan, Tapi Atas Pentas..." - Chubb-E
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Chubb-E akui sering berasa tertekan ketika membuat persediaan sebelum menjelang konsert mingguan pertandingan itu.
Pemilik nama sebenar Muhammad Shahrul Ashlyn ini berkata, dia harus memikirkan banyak perkara selain aspek nyanyian.
"Agak tertekan kerana saya bukan sekadar buat persembahan, saya juga harus memikirkan tentang susunan muzik dan konsep bersama ahli kumpulan.
"Namun apabila berada di atas pentas, saya cuba selindungkan semua masalah dengan menghidupkan watak dalam persembahan.
"Bagi saya, biarlah saya alami masalah di luar sahaja, apabila berada di atas pentas, saya akan lakukan yang terbaik," jelasnya.
Chubb-E berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert separuh akhir Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Ahad.
Tambah Chubb-E, dia berpuas hati dengan dua persembahannya di pentas separuh akhir itu.
"Saya berpuas hati, pertama kali saya buat dua persembahan dalam pertandingan, saya juga gembira kerana menerima komen positif dari pihak juri," ujarnya lagi.
Dalam Dansa Dan Sing, koreografer terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video