Dansa and Sing
"Saya Yakin Boleh Buat Lebih Baik" - Gementar Mengacara? Ini Komen Hady Mirza
Hos program tarian dan nyanyian terbaru Dansa Dan Sing, Hady Mirza akui gementar mengendalikan konsert pertama malam tadi.
Hady yang juga juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019) itu juga mengakui dia lebih bersandarkan kepada kebolehan rakan hosnya, Sherry Alhadad.
"Saya akui gementar mengacarakan program ini, saya pun tiada pengalaman dalam bidang pengacaraan, saya lebih menguasai bidang nyanyian.
"Tidak dinafikan saya bergantung kepada kebolehan rakan hos, Sherry yang semestinya lebih menyerlah berbanding saya.
"Namun begitu, saya yakin boleh lakukan dengan lebih baik pada minggu-minggu akan datang, banyak perkara yang boleh saya pelajari selepas ini," jelas Hady.
Hady berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas konsert pertama Dansa Dan Sing bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam tadi.
Bercakap tentang pelbagai pendapat dan kritikan netizen terhadap kebolehannya untuk mengacara, Hady mengatakan dia tidak mahu menghiraukan perkara tersebut.
"Saya tak kisah dengan kritikan netizen, saya buat yang terbaik pun orang kecam, apa yang penting, saya anggap ini satu rezeki.
"Saya pun tidak mahu terlalu serius dalam bidang pengacaraan kerana ia bukanlah bidang saya yang sebenar," tambahnya.
Musim pertama Dansa Dan Sing menyaksikan persaingan sengit antara sepuluh peserta iaitu Arja, Atilia Haron & Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, Wani Kayrie, WARIS dan Harris Baba.
Setiap peserta utama berikut akan diiringi oleh skuad masing-masing ketika membuat persembahan.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Juara Big Stage 2019, Han Byul telah diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama Linda dan Rizalman malam tadi.
Juara Dansa Dan Sing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing bakal membawa pulang RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.
Konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!