Dansa and Sing
"Sekurang-Kurangnya Kami Keluar Dengan Maruah" - Atilia Haron
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Atilia Haron reda tersingkir di konsert minggu keempat Ahad lalu,
Menurut Atilia yang diiringi Yasmin Hani & The Lola dalam pertandingan itu, mereka sudah lakukan yang terbaik dan tidak meninggalkan program itu dengan perasaan ralat.
"Saya reda tersingkir, sekurang-kurangnya kami keluar pertandingan ini dengan maruah.
"Apa yang penting kami telah lakukan yang terbaik dalam konsert minggu keempat dan sudah lepaskan apa yang tersimpan selama ini.
"Kalau kami disingkirkan lebih awal, sudah tentu kami tidak berpuas hati dan akan meninggalkan pertandingan ini dengan perasaan ralat," ujarnya.
Atilia berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert minggu keempat Dansa Dan Sing bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada Ahad.
Bercakap mengenai ketiadaan Yasmin malam itu, Atilia tidak merasakan ia perkara serius.
"Saya faham situasi ini, pihak Astro juga telah dimaklumkan lebih awal tentang ketiadaan Yasmin malam ini, bagi saya ia bukanlah satu perkara serius.
"Kami juga telah menggantikan Yasmin dengan seorang penari lain untuk melancarkan persembahan seperti biasa, yang kami rindu hanyalah keriuhan Yasmin sahaja," selorohnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen tersohor, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video