Dansa and Sing
Suntik Elemen Kreativiti, Tugasan Dansa Dan Sing Lebih Sukar Berbanding Gegar Vaganza
Pengurus saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal menjelaskan tugasan yang diberi kepada peserta Dansa Dan Sing adalah lebih sukar berbanding tugasan dalam program Gegar Vaganza dan Big Stage.
Menurut Emarina, semua peserta Dansa Dan Sing harus berfikir sendiri secara kreatif untuk mencorakkan sesuatu persembahan selepas menerima tugasan.
"Tugasan yang diberikan kepada peserta program ini sebenarnya lebih susah berbanding tugasan dalam program Gegar Vaganza dan Big Stage.
"Semua peserta harus berfikir dengan kreatif secara berkumpulan untuk membuatkan persembahan mereka kelihatan menarik dan punyai mutu tersendiri," jelasnya.
Emarina berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert kedua Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Tambah Emarina, usaha setiap kumpulan yang bertanding dalam program itu sangat dihargai.
"Semua peserta bergerak secara berkumpulan, ia bukanlah satu perkara mudah, banyak perkara yang mereka harus usahakan bersama.
"Usaha mereka amatlah dihargai, kami juga berharap agar semua penonton turut melihat hasil usaha mereka, kerana itulah salah satu perkara yang harus diketengahkan dalam pertandingan ini," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video