Dansa and Sing
"Tak Sangka Rizalman Suka..." - Ini Kata-Kata Wani Kayrie Menjelang Konsert Akhir Dansa Dan Sing
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Wani Kayrie tidak menyangka konsep pakaiannya bersama ahli kumpulan Delitz di konsert separuh akhir Ahad lalu disukai oleh juri tetap, Datuk Rizalman.
Menurut Wani, Rizalman kerap menegur dan memberi nasihat tentang konsep pakaian dan penampilan kumpulannya di atas pentas.
"Syukur Alhamdulillah, saya tidak menyangka Datuk Rizalman menyukai konsep pakaian kumpulan kami dalam konsert separuh akhir ini.
"Dia (Rizalman) banyak memberi teguran dan nasihat berkenaan imej kami di atas pentas sebelum ini.
"Untuk konsert separuh akhir, saya mencadangkan idea untuk menampilkan konsep Bali dan dipersetujui oleh semua ahli kumpulan," katanya.
Wani berkata demikian ketika di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert separuh akhir Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Ahad.
Tambah Wani, untuk konsert final minggu ini, dia akan menampilkan satu perbezaan yang tidak dijangka.
"Untuk konsert akhir ini, Insya-Allah, kami akan lakukan sesuatu yang berbeza dan tidak dijangka.
"Meskipun saya akan menyanyikan lagu Kurik Kundi, tidak semestinya kumpulan kami akan terikat dengan konsep tradisional sepenuhnya," ujarnya lagi.
Dalam Dansa Dan Sing, koreografer terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video