Dansa and Sing
"Terserah Pada Penonton, Saya Tahu Untuk..." - Dipilih Sebagai Juri Jemputan Dansa Dan Sing, Ini Komen Han Byul
Juara Big Stage 2019, Han Byul telah diundang sebagai juri jemputan dalam konsert pertama Dansa Dan Sing malam tadi.
Meskipun baru membina nama di industri hiburan Malaysia tahun lalu, Han Byul yakin mampu menilai persembahan para peserta dengan baik.
"Bercakap mengenai kelayakan, itu terserah pada pendapat masing-masing, namun bagi saya, apa yang penting saya tahu untuk menilai para peserta.
"Berdasarkan persembahan mereka, saya mampu melihat kekuatan dan aspek yang boleh diperbaiki oleh para peserta dalam konsert kali ini," kata Han Byul kepada Gempak.
Han Byul berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas konsert pertama Dansa Dan Sing bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam tadi.
Tambah Han Byul, dia tidak suka memberi komen kasar, namun tetap harus menegur kesalahan kerana ia merupakan satu pertandingan.
"Sukar untuk melihat saya memberi komen yang kasar, namun saya harus menegur kesalahan dalam konsert kali ini kerana ia merupakan satu pertandingan," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Musim pertama Dansa Dan Sing menyaksikan persaingan sengit antara sepuluh peserta iaitu Arja, Atilia Haron & Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, Wani Kayrie, WARIS dan Harris Baba.
Setiap peserta utama berikut akan diiringi oleh skuad masing-masing ketika membuat persembahan.
Dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, Dansa Dan Sing bersiaran secara langsung pada setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!