Dansa and Sing
"Tiada Siapa Yang Boleh Menyanyi Sempurna Ketika Menari" - Yusry Komen Isu Nyanyian 'On Top' Dalam Dansa Dan Sing
Penyanyi dan juga juri jemputan Dansa Dan Sing minggu kedua, Yusry Abdul Halim menyifatkan teknik nyanyian tindihan suara atau 'on top' seperti digunakan Harris Baba dalam persembahannya malam tadi adalah satu perkara normal.
Menurut Yusry, tiada penyanyi yang boleh menyanyi dengan sempurna ketika menari di atas pentas.
"Menyanyi sambil menari bukanlah satu perkara senang, tiada penyanyi yang boleh menyanyi sempurna ketika menari, ia agak mustahil.
"Tiada masalah untuk guna teknik on top, malah jika kita lihat persembahan bintang antarabangsa sekalipun, mereka turut gunakan teknik tersebut ketika menari," jelas Yusry.
Yusry berkata demikian ketika ditemui di sidang media selepas tamatnya konsert kedua Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam tadi.
Namun begitu, Yusry mengatakan Harris telah melakukan kesilapan ketika menggunakan teknik tersebut.
"Walaubagaimanapun, kesilapan harus dielakkan, Harris tidak lakukan dengan sempurna kerana ada barisan lirik yang tertinggal ketika menyanyi secara on top dalam persembahannya itu, perkara sebeginilah yang akan menjadi isu," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video