Dansa and Sing
"Walaupun Saya Pereka Fesyen, Tapi..." - Rizalman Dipilih Sebagai Juri Dansa Dan Sing
Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim dipilih sebagai juri tetap untuk bergandingan bersama Linda Jasmine dalam program tarian Dansa Dan Sing.
Menurut Rizalman, meskipun memegang portfolio sebagai pereka fesyen, namun dia sudah biasa melakukan pementasan seni.
"Walaupun saya seorang pereka fesyen, tetapi saya tahu tentang elemen pementasan seni.
"Dalam program ini, peserta akan dinilai secara keseluruhan dari segi pementasan mereka, bukan berdasarkan kemahiran tarian dan vokal semata-mata," ujar Rizalman.
Rizalman berkata demikian di sidang media Dansa Dan Sing bertempat di The Starling, Damansara Utama petang semalam.
Tambah Rizalman, setiap peserta harus melakukan persembahan yang mampu membuatkan penonton berasa kagum.
"Setiap peserta harus menguasai semua elemen dan menghasilkan nikmat 'Wow' kepada saya dan semua penonton di rumah," katanya lagi.
Dansa Dan Sing disertai Wani Kayrie, Arja, Atilia Haron & Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, WARIS dan Harris Baba.
Seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama Linda dan Rizalman mengadili para peserta.
Selebriti popular, Sherry Alhadad pula telah dipertanggungjawabkan sebagai pengacara program berkenaan.
Konsert mingguan Dansa Dan Sing akan ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!