Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie melalui proses penghasilan yang mencabar dengan banyak penambahbaikan dan penolakan sebelum siap.
- Pasukan produksi sanggup bekerja lebih masa namun tetap mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan demi hasil berkualiti.
- Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Disember dan sudah mendapat sambutan hebat dalam tayangan awal.
Penghasilan filem animasi, Papa Zola The Movie bukanlah satu perkara yang mudah untuk dihasilkan kerana ia memerlukan banyak proses serta pengorbanan bagi memastikan hasil yang berkualiti untuk diberikan kepada penonton.
Menurut pengarah bersama bagi filem tersebut iaitu Raja Nukman Raja Mohd Noordin, setiap proses editing yang dilakukan melalui banyak peringkat penambahbaikan termasuklah berdepan dengan beberapa ‘rejection’.
Walau bagaimanapun, mereka sepasukan sama sekali tidak patah semangat demi memberikan yang terbaik buat filem tersebut.
“Kita nak buat benda yang terbaik kan? Bila dah buat dan dah siap, bagi pasukan tengok, mesti ada rejection.
“Rejection itulah yang membuatkan kita macam stres sebenarnya tapi tak adalah stres sangat.
“Stres macam mana sekalipun, kami tetap cuba untuk buat kerja dengan cara yang menyeronokkan,” kongsinya.
Nukman berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu segmen pagi radio THR Gegar bersama seorang lagi pengarah bagi filem Papa Zola The Movie iaitu Dzubir Mohamed Zakaria.
Dalam masa yang sama, Dzubir yang juga pelakon bagi suara watak Gopal memaklumkan bahawa ada kalanya mereka juga perlu kerja lebih masa bagi memastikan hasil akhir filem berada di tahap yang terbaik.
Sungguhpun begitu, mereka tetap menerap serta mengutamakan keseimbangan hidup dan kerja memandangkan pembikinan filem animasi memerlukan tahap kreativiti yang tinggi.
“Bahagian animasi ini seperti yang diketahui ramai, pekerjaannya berbeza sedikit.
“Waktu bekerja sama saja sembilan pagi hingga lima petang tetapi ada kalanya memang perlu untuk kami letakkan usaha yang lebih untuk hasilkan filem yang berkualiti.
“Jadi, memang kami ada korbankan sedikit waktu dengan melebihkan masa bekerja di penghujung pembikinan filem sebab kita nak cantik dan perbaiki lagi editing.
“Cuma apa yang boleh saya katakan ialah kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan adanya work life balance sebab nak buat filem animasi, memerlukan kreativiti yang tinggi,” katanya.
Sekadar info, Papa Zola The Movie bakal mula ditayangkan bermula malam ini di pawagam seluruh negara.
Meskipun belum ditayangkan secara rasmi, tayangan awal di beberapa lokasi pawagam yang terpilih dilihat mendapat sambutan apabila tiket tayangan awal sudah habis terjual.
Sinopsis:
Filem ‘Papa Zola The Movie’ mengisahkan Papa Zola, seorang bapa dan suami yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan permintaan anaknya, Pipi.
Walau bagaimanapun, banyak dugaan dan cabaran yang perlu dilalui Papa Zola dan keluarga sepanjang pengembaraan itu.
Buat para peminat francais animasi BoboiBoy dan Mechamato, jangan lepaskan peluang untuk dapatkan tiket dan tonton Papa Zola The Movie di pawagam berdekatan anda bermula 11 Disember ini.