Sekilas
- Mek Yun berkongsi pengalamannya menjadi mangsa buli fizikal dan ejekan semasa sekolah yang menyebabkan hilang keyakinan diri hampir 10 tahun.
- Dia menyeru pembuli berhenti melakukan perbuatan tersebut dan menegaskan trauma akibat buli bukan alasan untuk mengambil nyawa orang lain.
- Mek Yun mengingatkan supaya jangan diam bila melihat buli berlaku dan mangsa perlu berani minta bantuan serta percaya pada diri sendiri.
Isu buli kini menjadi topik perbualan dan perbincangan dalam kalangan wargamaya di laman sosial selain ada juga yang berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa termasuklah pempengaruh, Mek Yun,
Menerusi hantaran di Threads, Mek Yun mendakwa pernah berdepan ejekan fizikal ketika zaman sekolah sehingga menyebabkan dia hilang keyakinan diri selama hampir 10 tahun.
“Ramai yang tak tahu sebenarnya Mekyun pun pernah jadi mangsa buli masa sekolah dulu. Orang panggil dan ejek Mek Yun ‘PAPAN’. Orang kutuk suara Mek Yun macam suara lelaki. Hampir setiap hari ya dari tingkatan satu hingga dua.
“Disebabkan tu, Mek Yun jadi insecure sangat dengan diri dan badan sendiri hampir 10 TAHUN, sampai habis universiti. Tapi syukur, lepas itu Mek Yun berjaya belajar untuk terima dan sayang diri sendiri. Dan belajar yang nilai kita tak pernah ditentukan oleh kata-kata orang lain.
“Sebab tu Mek Yun faham… buli bukan benda kecil. Hanya satu ayat yang korang anggap ‘gurau’ boleh tinggalkan luka yang orang bawa bertahun-tahun. Ada yang sampai bila-bila,” kongsinya.
Pada perkongsian lain, Mek Yun juga dengan tegas meminta individu yang membuli untuk berhenti melakukan perkara tersebut selain turut tidak menyokong trauma sebagai mangsa buli dijadikan punca mengambil nyawa orang lain.
“Kalau awak seorang pembuli, tolonglah STOP. Jangan bangga dan rasa hebat bila berjaya buat orang lain rasa lemah. Hakikatnya, pembuli selalunya cuma sembunyikan kelemahan dan insecure dengan diri sendiri.
“Tapi dalam masa yang sama, Mek Yun juga tak sokong bila trauma dijadikan punca untuk mengambil nyawa orang lain. Jadi mangsa buli memang menyakitkan. Mek Yun tahu sebab Mek Yun pernah laluinya. Tapi membunuh bukan jawapannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mek Yun juga menitipkan pesanan buat semua orang mengenai gejala buli yang kian membimbangkan.
“Ingat. Jangan jadi pembuli. Jangan diam bila nampak orang dibuli. Dan kalau awak mangsa buli sekarang, jangan pendam seorang diri. Minta bantuan. Bercakap dengan someone yang awak percaya.
“Ingat, apa yang orang cakap tentang awak bukan penentu siapa diri dan hidup awak. Percayalah… Mek Yun pernah berada di tempat itu. Mek Yun tahu macam mana rasanya bila kata-kata orang musnahkan confidence kita.
“Tapi Mek Yun juga belajar, kata-kata orang tak pernah menentukan siapa kita. Kita yang tentukan diri dan hidup kita. Kalau Mek Yun boleh bangun semula, belajar sayang diri sendiri dan bina semula keyakinan yang pernah hilang, awak juga boleh. Dan tolong. Untuk semua orang… tolong jadi baik,” katanya.
Sumber - Threads