Skip to main content

Dr. Fie Menggigil Tahan Marah, Dakwa Nubhan Campak Keluar Barang Peribadi Tanpa Notis - “CCTV Ditutup, Tahap Kejam Tak Tahu Nak Cakap Apa”

Dr. Fie Tawfek

Sekilas

  • Dr. Afifah Hidayah atau Dr. Fie meluahkan rasa kecewa apabila bekas suaminya, Nubhan, didakwa membuang barang peribadi miliknya dan anak-anak tanpa pengetahuan beliau.
  • Barang-barang tersebut diletakkan di hadapan rumah ibu bapanya tanpa notis, dan Dr. Fie turut mempersoal keberadaan barang kemas serta wang tunainya.
  • Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan perceraian Nubhan dan Dr. Fie pada 2 Disember lalu selepas lafaz talak dibuat pada 26 Ogos, hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak.

Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang mesra disapa Dr. Fie meluahkan rasa kesal dan geram terhadap bekas suaminya yang didakwa telah  membuang barang peribadi miliknya dan anak keluar daripada kediaman tanpa pengetahuannya.

Menerusi Threads, Dr. Afifah yang mesra disapa Dr.Fie turut mendakwa barang peribadi miliknya itu juga telah diletakkan di hadapan rumah kediaman ibu dan bapanya tanpa sebarang notis awal dari pihak Nubhan.

Dr. Fie yang kini berada di luar negara turut meluahkan rasa terkejut sambil menyifatkan tindakan bekas suaminya itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Kita di luar negara, habis diangkut barang-barang keluar dari rumah yang saya duduk sekarang dengan anak-anak tanpa dimaklumkan kepada saya.

“Kejam kamu Nubhan. Barang-barang saya dicampak saja di hadapan rumah ibu. Sedik diperlaku begini. Ini bukan kali pertama dan telefon bimbit pembantu rumah pun dirampas.

“Kesian dekat ibu ayah Fie. Balik-balik tengok barang anak dia semua kat rumah dia tanpa sebarang notis.

“Maaf ibu ayah, along tak sangka dia buat macam ini. Dulu ibu kutip baju-baju along dia tinggal depan rumah ibu. Hari ni dia buat lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Fie turut mempersoal keberadaan barang berharga miliknya seperti barang kemas serta wang tunai.

“Barang-barang berharga siapa pegang? Segala duit dan emas aku mana? Sekarang tak boleh balik, kita di luar negara.

“ Ya Allah, kejamnya kamu. CCTV ditutup, tahap kejam tak tahu nak cakap. Orang tak nampak lagi ke? Takkan jadi juara dah sombong macam ni? Satu malaysia kenal dah jadi untouchable ke?

“Tergamaknya kau! Rumah nama kau, kereta nama kau! Macam tu je kau buang aku? Tanpa belas kasihan,” kongsinya.

Dr. Fie turut memaklumkan bahawa kesabarannya juga suda memuncak selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi menjaga maruah semua pihak.

Terdahulu, pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.

Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Sumber: Threads Dr. Fie

Must-Watch Video

Advertisement