Tahun lalu, ada khabar angin yang mengatakan pemain bola sepak terkemuka, Cristiano Ronaldo adalah pemilik Bugatti La Voiture Noire yang berharga Euro 11 juta (RM52.51 juta).



Bugatti La Voiture Noire adalah kereta paling mahal bagi jenama hypercar daripada Perancis itu, tetapi berita berkenaan dinafikan oleh jurucakap bintang bola sepak terbabit.

Berdasarkan laporan laman sesawang Carbuzz pula, pemain bola sepak itu dikatakan membuat satu tempahan bagi model Bugatti iaitu Centodieci.

Jentera yang dibina menerusi inspirasi Bugatti EB110 dari model 1990-an itu diperkenalkan pada acara Pebble Beach tahun lalu. Ia hanya dibina sebanyak 10 unit sahaja yang dijual pada harga Euro 8 juta (RM38.2 juta).



Centodieci menggunakan enjin 8.0 liter W16 yang menyalurkan 1,600hp dan kuasa itu dikatakan lebih daripada model Bugatti Chiron Super Sport 300+. Ia boleh memecut 0-100km/j dalam 2.4 saat dan hanya mengambil 13.1 saat untuk pecutan 0-300km/j.

Berdasarkan karakter, Centodieci tampil dengan jeriji lebih kecil, spoiler hadapan baharu, lampu lebih kecil. Ia juga dikatakan lebih ringan daripada Chiron sehingga 20kg.