Tempatan

1,000 motosikal bakal memeriahkan Taiping Motorshow 2019

gempak
Erywan
18/10/2019
07:58 MYT
Sponsor Banner
1,000 motosikal bakal memeriahkan Taiping Motorshow 2019
Dijangka hampir 1,000 motosikal kategori autoshow akan hadir dalam program amal Taiping Motorshow 2019 yang julung kali diadakan oleh Duta Koyoko Malaysia, Hishamuddin Md Rashid, 49.
Dalam program yang diadakan Ahad ini di Taman Tasik Kamunting, seramai 500 peserta sudah pun mendaftarkan buat masa ini dan jumlah akan meningkat pada hari acara berkenaan.
Apa yang menariknya, sebanyak 25 kategori dipertandingkan iaitu 12 kategori untuk motosikal cantik dan 13 kategori lagi adalah pilihan juri.
Hishamuddin atau dikenali dengan nama Kojeq berkata, penganjuran program permotoran yang julung kali yang dibuat di daerah kelahirannya itu bertujuan mempromosi Bandar Taiping yang mendapat pengiktirafan bandar warisan ketiga tercantik dunia.
"Disamping itu juga tujuan utama program ini dibuat adalah untuk menghimpunkan sahabat permotoran autoshow seluruh Malaysia untuk mempamerkan seni motosikal masing-masing dan dalam masa sama selain berkumpul, kita juga membuat amal.
"Sedikit wang hasil penyertaan itu saya akan sumbangkan kepada rumah kebajikan dan anak yatim di daerah ini,” katanya.
Menurut Kojeq, program itu ditaja sepenuhnya oleh Koyoko dan Kenda serta mendapat kerjasama dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Polis Di Raja Malaysia serta turut mendapat tajaan hadiah cabutan bertuah dari 10 premis permotoran.
Selain pameran motosikal, beberapa acara tambahan turut diadakan kepada umum bagi memeriahkan lagi suasana seperti acara motosikal lambat, teka biji kacang dan sebagainya.
Bagi acara cabutan bertuah kepada peserta berdaftar pula, sebanyak 100 hadiah membabitkan aksesori motosikal seperti tayar, rim, helmet, jaket dan lain-lain bakal menanti peserta.
Program yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 5.30 petang itu akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Ir Dr. Muhd Fadhil Nuruddin.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live