Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

15 Minit Pandu Uji Perodua Ativa, Ini Ulasan Paling Jujur Yang Boleh Kami Katakan

Erywan
03/03/2021 12:58 MYT
Perodua baru sahaja melancarkan SUV baharunya menerusi Ativa yang menjadi satu-satunya model pertama menggunakan enjin 1.0 liter turbo dengan padanan transmisi CVT.

Kehadiran SUV itu nampaknya bakal memberi kesan sedikit sebanyak kepada model-model lain terutama dalam segmen sama.


Jadi ini ulasan yang paling jujur untuk Perodua Ativa. Seminggu sebelum pelancaran Ativa, penulis dan rakan-rakan media lain sebenarnya sudah dijemput Perodua untuk menguji SUV baharu mereka.

Untuk menghadiri acara pandu uji berkenaan, sebenarnya kami mengikut segala SOP dengan kawalan ketat yang mana ketika itu masih lagi PKP.


Sebelum menyertai majlis itu, kami perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk merentas daerah, buat ujian swap Covid-19 pada pagi sebelum memasuki bilik taklimat dan banyak lagi. Memang ketat habis SOP Perodua ini dan ia juga kali pertama penulis menjalani ujian swap Covid-19. Syukur, keputusannya negatif.

Seperti yang kita sedia maklum, Ativa ini adalah model pertama yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jadi semestinya ia mempunyai perubahan yang agak ketara berbanding model-model Perodua sebelum ini.


Rekaan luaran

Dari segi rekaan, ia tidak banyak perubahan dengan Daihatsu Rocky yang dijual untuk pasaran Jepun. Apa yang membezakannya adalah pada bampar hadapan dan belakang yang menerapkan rekaan Perodua.

Bagi varian lain, ia boleh dibezakan dengan penggunaan reka bentuk rim dan aksesori luaran yang mungkin sedikit berbeza. Lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam.


Rekaan Dalaman


Bagi sesi pandu uji ini, kami dipamerkan dengan Ativa varian paling tinggi iaitu AV. Bagi keluaran Perodua, penulis boleh katakan ini ruang kabin paling kemas pernah mereka hasilkan.

Walaupun banyak menggunakan material keras, ciri premium masih lagi boleh dilihat seperti penggunaan skrin audio terapung dan butang penghidup enjin dengan kunci pintar.


Paling menariknya bagi kenderaan di bawah RM80,000, ia menggunakan panel meter TFT yang menyalurkan pelbagai maklumat kelajuan, RPM dan banyak lagi, Lagi satu, ia boleh tukar paparan yang berbeza.

Bagi varian paling tinggi ini, kerusi dibaluti material yang berkualiti seperti kulit dan diperkemaskan dengan warna merah.


Dari segi keluasan tempat duduk, bahagian belakang mungkin sedikit sempit terutama bahagian kelegaan ruang kaki jika ketinggian penumpang dan pemandu hadapan yang tinggi.


Prestasi

Ini yang paling ‘best’ penulis nak kongsikan. Mungkin anda diluar sana akan pertikaikan bahawa enjin 1.0 turbo ini mampu naik bukit atau tidak. Sebenarnya, tanggapan itu haruslah dibuang sejauh-jauhnya, sedangkan Nissan Almera baharu pun menggunakan enjin 1.0 liter dan masih menawarkan prestasinya yang cukup baik.


Sama juga dengan Ativa, enjin 1.0 liter turbo ini boleh dikatakan agak mantap dalam banyak-banyak keluarga Perodua. Ketika pandu uji melalui jalan bukit, ia mempunyai kuasa dan rasa ringan serta prestasinya masih boleh dikerah untuk peringkat tertinggi. Jadi, penulis beranggapan untuk menaiki bukit ke Genting Highland, memang tiada masalah langsung.


Lagi satu, ia juga menggunakan transmisi CVT dengan tujuh kelajuan. Ini perkara yang paling menggembirakan penulis, kerana ia adalah satu-satu model Perodua yang menggunakan kotak gear baharu itu. Maklumlah, sebelum ini hanya menggunakan gear automatik biasa.

Apa yang penulis rasa, kuasa pecutannya boleh dikatakan seringan macam Myvi 1.5 liter, cuma prestasinya rasa lebih lancar dengan penggunaan transmisi CVT. Ketika memandu pada kelajuan antara 120 sehingga 130km/j, meter RPM baru mencecah 3,000, kalau guna transmisi empat kelajuan automatik, ia sudah pun melebihi angka itu.


Butang Mod Power

Ini satu benda paling bagus pada Ativa, ada butang ‘power’ dan ia bukannya butang untuk buka atau tutup radio. Butang ‘PWR’ yang terletak pada roda stereng itu, memberi sedikit peningkatan prestasi dan tindak balas kuasa enjin yang mana sesuai digunakan untuk memotong atau menaiki bukit.

Dari segi spesifikasi prestasinya, enjin 1.0 liter ini hampir menyamai prestasi rangkaian kuasa 1.5 liter. Ia menyalurkan output 95hp dengan tork mencecah 120Nm pada 2,000rpm.


Suspensi Dan Kedapan Bunyi

Penulis boleh katakan Perodua banyak melakukan naik taraf selepas menerima maklum balas daripada pengguna sebelum ini.

Seperti suspensi Ativa ini, penulis boleh katakan ia tidak terlalu lembut atau keras dan sememangnya sangat sesuai dengan kondisi jalan raya di Malaysia. Ketika melalui jalan yang tidak rata, suspensinya rasa sedikit keras berbanding Perodua Aruz, namun ia tidak menganggu keselesaannya penumpang atau pemandu Ativa ini.

Suspensi itu agak sesuai untuk memberi sedikit keseronokan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi untuk mengurangkan rasa buaian kerana Ativa ini sebuah kenderaan yang agak tinggi.

Kedapan bunyi pula, Ativa ini agak senyap sedikit berbanding model-model Perodua lain. Bunyi angin atau enjin, nampaknya ‘ditapis’ terlebih dahulu sebelum memasuki ruang kabin. Namun, jangan pula anda menyamai kereta premium yang lain, ternyata ia tidak setaraf untuk membuat pembandingan itu.


Ciri Keselamatan

Ini kerana Ativa menjadi satu-satunya SUV yang sangat mampu dimiliki selepas memiliki ciri-ciri terbaik dari segi keselamatannya.

Terutama bagi varian paling tinggi iaitu AV, ia mempunyai ciri Autonomi Tahap 2 dengan memiliki Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 3.0), Lane Departure Warning and Prevention, Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Ia seakan-akan sama ciri keselamatan kenderaan jenama lain seperti Honda Sensing dan Toyota Safety Sense. Ini dah kira baik dengan harga yang ditawarkan!


Kelebihan Lain Ativa

Bagi pasaran Malaysia, Ativa ini lebih berat berbanding Daihatsu Rocky ini disebabkan SUV itu mempunyai tayar simpanan, kepingan besi di pintu belakang dan juga mempunyai sistem penyejuk CVT.

Ativa juga boleh meredah laluan berair sedalam 250mm dan ia cukup sesuai untuk melalui jalan-jalan yang kerap berlakunya banjir kilat di kawasan anda.


Kesimpulan

Bagi penulis, ini adalah SUV dengan harga yang paling berpatutan untuk dimiliki. Memandangkan ciri-ciri yang ada pada Ativa selalunya boleh ditemui pada model kenderaan lebih mahal daripadanya.

;