Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

36 Jam Pandu Mitsubishi Evo Dari Kuala Lumpur Ke Bangkok, Thailand

Erywan
31/12/2019 06:07 MYT
Pengembaraan jentera Mitsubishi Evolution (Evo) dari Malaysia ke Thailand bukanlah satu perkara yang luar biasa dan ia sudah menjadi kebiasaan apabila menerima jemputan daripada kelab kenderaan jenama itu di sana.

Ini terbukti apabila pemilik Evo Malaysia dan Evo Thailand menjalani hubungan yang rapat sekian lama dengan setiap tahun pasti ada program antara dua negara itu.

Bagaimanapun, kali ini adalah sesuatu yang istimewa dan mungkin belum pernah dilakukan oleh mana-mana jentera Evo dari Malaysia, perjalanan beribu kilometer dengan hanya berhenti rehat untuk solat, makan, mandi dan rehat seketika.

Perjalanan yang dimaksudkan itu dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand, yang mengambil masa 36 jam tanpa tidur.

Kalau pemandu lori sekali pun, ia semestinya berhenti tidur atau ada pemandu kedua, tetapi tidak kepada sembilan pemilik Evo Malaysia dengan menggunakan jentera bernadikan enjin 4G63 dan 4B11T berkuasa turbocharged 2 liter.

Bagi keselamatan pula, konvoi itu juga membawa bantuan sokongan iaitu sebuah pikap trak, Isuzu D-Max yang turut mempunyai kelengkapan baik pulih serta pelbagai alat ganti.

Bermula di pintu sempadan, pemilik Evo Malaysia disambut oleh sahabat Evo Thailand yang menetap di Sadao yang turut bersama-sama menyertai konvoi Evo Personal Record Pattaya 2019.

Ketika menanti sahabat dari Kelantan, satu daripada jentera mengalami kebocoran paip gas penyaman udara, namun perjalanan diteruskan berikutan ia pada waktu malam yang tidak terlalu panas dan setibanya di Hua Hin sebuah jentera Evo 7 pula mengalami kerosakan tali sawat.

Selepas dibaiki, Evo 7 itu boleh dipandu semula namun bagi kerosakan penyaman udara masih lagi gagal berfungsi berikutan tidak dapat mencari alat gantinya. Jadi 'makan' berpanaslah seketika untuk sampai ke Bangkok.

Tiba di Bangkok, konvoi berkenaan disambut sahabat Evo Bangkok dan kedua-dua kenderaan yang rosak itu dihantar ke bengkel untuk dibaiki yang mengambil masa sehari untuk disiapkan.

Dalam masa yang sama, pemilik Evo Malaysia berkunjung ke setiap bengkel Evo di seluruh Bangkok untuk menghantar surat jemputan Evo Day 2020 yang diadakan di Malaysia. Antara bengkel yang dikunjungi membabitkan Rev Limit Evo Garage, Noi Saimai Evo Garage, Quater Tech Mitsubishi Evo, TNC Racing dan Bangmod Racing (BRD).

Selepas selesai menghantar surat jemputan itu, konvoi berkenaan meneruskan perjalanan mereka ke Pattaya diiringi dua Evo oleh sahabat di Bangkok.

Ketibaan di Pattaya, mereka disambut baik oleh pemilik Evo Pattaya dan turut disertai Presiden Kelab VR4 Thailand. Pemilik Evo Pattaya juga menjadi pemandu pelancong dengan membawa tempat menarik di sana. Malangnya, dua kenderaan mengalami kerosakan pam bahan api dan dibaiki.

Tiga hari di Pattaya, akhirnya pemilik Evo Malaysia mula berangkat pulang ke tanah air, tetapi singgah di Evo Shop Thailand untuk menyerah surat jemputan Evo Day 2020 kepada pemilik Evo Bangkok.

Selesai menyerah surat jemputan dan membaiki sebuah Evo 7 yang mengalami kerosakan brek hadapan, konvoi itu memulakan perjalanan ke Sadao yang turut diringi pemilik Evo Thailand sehingga Petchanburi.


;