Selepas mengumumkan seorang warga kerja disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 14 Oktober 2020, PROTON kini mengumumkan 49 lagi kes dikesan.

Semua pekerja yang terbabit adalah daripada bahagian Kejuruteraan dan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Buat masa ini, semua pekerja yang tidak perlu hadir secara fizikal di kilang PROTON Shah Alam sudah diarahkan untuk bekerja dari rumah.

Dalam kenyataan medianya, pihak syarikat akan terus mengikuti langkah-langkah pembasmian yang disyorkan sambil mengambil tindakan lebih ketat untuk mengurangkan penularan wabak ini. Aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan dan pasukan khas COVID-19 akan memantau situasi terkini secara terperinci.

PROTON ingin menekankan bahawa pihak syarikat akan terus mengikuti semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan dengan ketat. Ini sudah diamalkan semenjak wabak ini menular dalam negeri.

Semua pekerja yang berhadapan dengan pelanggan perlu mengikuti langkah keselamatan dan Pusat Servis Kecemerlangan (COSE) serta bilik pameran Crystal melakukan pembasmian kuman pada setiap jam.

PROTON juga bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang sudah memberikan panduan kepada syarikat berkaitan dengan semua proses dan mereka juga berpuas hati dengan tindakan yang sudah diambil buat masa ini. Keselamatan semua pekerja PROTON, pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa kekal sebagai keutamaan PROTON.