Antarabangsa
AC Schnitzer Beri Sentuhan Ajaib Kepada Saudara Toyota Supra, BMW Z4
Sebelum ini, AC Schnitzer memperkenalkan pakej naik taraf bagi Toyota Supra (A90). Kini, tiba giliran kembarnya pula iaitu BMW Z4 untuk menerima sentuhan ajaib daripada firma talaan dari Jerman itu.
Buat masa ini, pakej naik taraf ini dibangunkan khas untuk Z4 M40i yang menjadi varian yang paling hampir serupa dengan Supra.
Oleh kerana kedua-duanya berkongsi ciri mekanikal yang sama, apa yang ditawarkan pada Supra turut ditawarkan pada model ini.
Seperti Supra, Z4 M40i dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang menjana 340PS dan 500Nm. Namun dengan pakej ini, jumlah tersebut boleh ditingkatkan kepada 400PS dan 600Nm.
Turut disertakan di dalam pakej ini adalah sistem ekzos sport yang ditawarkan dengan dua pilihan material iaitu karbon dan keluli tahan karat, serta sistem suspensi boleh laras yang boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 25mm.
Menurut AC Schnitzer, ia sedang dalam proses membangunkan pakej naik taraf untuk varian 30i dan 20i yang masing-masing mempunyai 258hp/400Nm dan 197hp/300Nm.
Sudah tentu, pakej ini tidak akan lengkap tanpa kehadiran kit badan yang menjadikan model ini kelihatan lebih agresif.
Bagi Z4, kit tersebut merangkumi splitter hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang yang didatangkan dalam dua bahagian.
Baca juga artikel berkaitan:
Rim standard digantikan dengan rim aloi 20 inci yang boleh didapati dalam dua rekaan berbeza dengan empat pilihan kemasan iaitu Silver Anthracite dan Anthracite Silver untuk rekaan AC1, dan Bicolor dan Anthracite untuk rekaan AC3.
Di dalam, pelanggan akan mendapat set pedal penukar gear dan pedal kaki aluminium.