Caravan atau motorhome kini adalah trend dalam kalangan mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan riadah. Namun di Malaysia tren ini tidaklah memiliki komuniti yang besar seperti Amerika Syarikat misalnya.


Jadi tidak mengejutkan apabila syarikat yang terkenal dengan caravan dan kenderaan bermotor mewah, Airstream turut serta dalam permainan berkenaan. Model diperkenalkan memiliki ciri-ciri lebih ranggi dan sesuai untuk off-road yang bersedia untuk aktiviti lasak.


Kenderaan dinamakan Airstream Interstate 24X (2022) itu menggunakan Mercedes Sprinter 3500 sebagai model asas dengan dimensi jarak roda 170-inci dan panjang 24 kaki di samping menggunakan enjin 3.0L V6 turbo diesel yang menghasilkan kuasa 188hp dan tork 441Nm. Kuasa ke empat-empat roda itu disalurkan menerusi transmisi 7-kelajuan.


Malah, van berkenaan juga boleh menunda sehingga 2,268 kg. Airstream juga memasang pelindung badan dan menggunakan tayar pelbagai guna sebagai persediaan untuk aktiviti off road. Bahagian dalam menyediakan enam tempat duduk dengan dua ruangan tidur bahkan kerusi belakang lebih besar boleh dikonfigurasi sehingga 4-pelarasan bermula dari katil tunggal, berkembar dan katil terpisah di belakang dan depan.


Bahagian dapur menggunakan permukaan kaunter dapur yang solid dengan sinki yang dalam bersama dua dapur gas dan gelombang mikro dan peti ais. Van berkenaan juga dilengkapi ruangan mandi siap dengan penyidai tuala, cermin dan langsir.


Dari segi sistem elektrik, Airstream Interstate 24X (2022) berkenaan menggunakan bateri litium 100 Ah Battle Born, sistem pengurusan tenaga 30 Amp dan kuasa pengubah 2000 Watt serta panel solar fleksibel 300W bagi bateri dalam rumah.


Ciri peralatan lain termasuklah sistem pembesar suara Resonado dengan sambungan Bluetooth, penyaman udara, sistem air panas dan ruangan membasuh tambahan di belakang dan tepi kenderaan. Interstate 24X dijual pada harga $213,850 (RM879,843).