Sesuai dengan nama yang diberi, 'Alien Trike' mempamerkan imej tersendiri apabila motosikal ciptaan JZ Engeneering dari Johor tampil unik dan berbeza.

Jentera yang dibina khas seperti dalam filem sains fiksyen, digerakkan dengan jentera Volkwagen bersesaran 1,600cc. Alien Trike hanya dipamerkan di acara tertentu sahaja dan tidak digunakan di jalan raya.

Uniknya motosikal ini, ia bukan sahaja memiliki rupa bentuk pelik, tetapi dilengkapi suspensi udara di bahagian hadapan.

Boleh dikatakan keseluruhannya dibuat secara binaan khas termasuklah kerangka, fork hadapan dan banyak lagi. Malah beberapa komponen lain turut dilakarkan ukiran khas bagi menampilkan imej yang unik dan berbeza.

Selain memiliki tiga roda, lampu hadapan halogen yang dibeli dari Hong Kong tampak seperti kepala makhluk asing.

Jika melihat pada kerangka besi yang memegang enjin dan komponen lain, dibina dibuat secara binaan khas oleh pemilik sendiri.

Bercerita tentang nadi kuasanya, jentera ini mempunyai lima gear kelajuan yang didatangkan dari W58 Toyota dan menggunakan karburetor berkembar volvo yang diambil dari model tahun 1964.

Tempat duduk jentera sudah pasti dibina khas dan pada masa sama dilengkapi kotak di sudut jentera yang diperbuat dari kayu rengas.

Cara tunggangannya sudah pasti seperti kereta cuma ia perlu memegang hendal. Ia turut dilengkapi sistem brek cakera dibahagian hadapan dan tunggal di belakang.

Antara fork hadapan yang dibina khas itu terselit dari rim daripada motosikal Harley-Davidson, manakala dua rim bersaiz 15 inci dengan balutan tayar 295x50r15 Maxxis 760 pada bahagian belakang.

Projek untuk membina Alien Trike memakan masa 7 bulan dengan kos belanja melebihi RM40,000.

Ia membuat penampilan pertama di Art Of Speed 2018 di MAEPS, Serdang dan menjadi pencabar sengit pada motosikal yang diberi nama White Angel dari Ipoh atau Rusty Factory.