Antarabangsa
Alpina D3 S, Versi Wagon Memang Cun Habis!
Selepas memperkenalkan B3 pada Oktober tahun lalu, Alpina kini kembali dengan versi diesel yang dikenali sebagai D3 S.
Model ini dibina berasaskan BMW M340d dan ia ditawarkan dalam bentuk sedan dan wagon (Touring).
D3 S menampilkan enjin turbodiesel berkapasiti 3.0-liter dengan enam silinder yang disusun dalam satu baris. Enjin tersebut telah dinaik taraf untuk menjana 355hp dan 740Nm, mewakili peningkatan sebanyak 15hp dan 30Nm berbanding versi standard.
Dari segi prestasi, versi sedan berupaya melakukan pecutan 0-100km/j dalam 4.6 saat, dengan kelajuan maksimum yang mencecah 273km/j. Sementara itu, versi Touring pula lebih perlahan sedikit dengan masa pecutan 4.8 saat dan kelajuan maksimum 270km/j.
Sebahagian daripada prestasi ini disumbangkan oleh teknologi mild-hybrid BMW yang sedia ada pada M340d. Terdiri daripada bateri 48 volt dan ‘starter-generator’, teknologi terbabit bukan sahaja membekalkan kuasa tambahan sebanyak 11 hp, malah boleh mengurangkan tahap penggunaan bahan api.
Alpina turut mempertingkatkan transmisi automatik lapan kelajuan ZF yang terdapat pada D3 S bagi memastikan ia boleh menampung jumlah kuasa yang tinggi. Bukan itu sahaja, jentera ini juga dilengkapi dengan sistem brek lebih berkuasa yang diambil daripada B5 Bi-Turbo. Ia merangkumi cakera berukuran 395mm di hadapan dan 345mm di belakang.
Selain itu, ia juga mendapat manfaat daripada Limited-Slip Differential elektronik pada gandar belakang dan sistem suspensi adaptif Alpina Sport yang dipadankan dengan gegelung Eibach.
Turut disertakan adalah rim Alpina Dynamic berukuran 19 inci dan tayar Pirelli P Zero. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan rim Alpina Classic 20 inci.
Must-Watch Video