Alpine akhirnya mengumumkan harga bagi varian baharu A110S, yang menyertai produk sedia ada A110 Pure dan A110 Legende dalam barisan segmen kereta sport ringan.

Selain menerima dos kuasa tambahan, tetapan suspensi bespoke dan brek naik taraf, varian A110S turut menawarkan satu pengalaman pemanduan lebih jitu. Pesanan awal sudah dibuka dengan harga bermula serendah £56,810.

Alpine A110S dengan dua tempat duduk itu ada beberapa penambahbaikan untuk memastikan prestasi lebih baik, hantaran kuasa lebih dinamik, kestabilan dan ketepatan semasa pemanduan laju malah sesuai untuk kegunaan harian.

Enjin 1.8 liter dengan sambungan turbo kini menjana kuasa 292hp, iaitu tambahan 40hp berbanding model standard manakala tork puncak adalah sekuat 320Nm ketika 2,000 hingga 6,400rpm.

Ekzos sport kereta ini juga membantu menghasilkan deruman lebih padu dan ini bergantung kepada pemilihan mod pemandu.

Alpine mengenakan sistem brek berprestasi tinggi berukuran 320mm dengan angkup Brembo. Tayar berprofil lebih lebar iaitu 215/40 R18 hadapan dan 245/40 R18 belakang jenis Michelin Pilot Sport 4 dikhaskan untuk A110S.

Penambahbaikan lain ialah merendahkan ketinggian kereta sebanyak 4mm hasil pemakaian gegelung pegas dan bar antiguling baharu yang meningkatkan ketegaran antara 50 hingga 100 peratus.

Kawalan kestabilan elektronik ditala semula untuk memberikan kelebihan dan pengendalian lebih tepat selain cengkaman terbaik.

Bagi mereka yang mahu opsyen tambahan pada A110S, ada panel bumbung gentian karbon berharga £2,208 yang mengurangkan berat sebanyak 1.9 kilogram (kg). Berat kasar asal kereta ini ialah 1,114kg.