Permainan video Gran Turismo Sport digemari ramai bukan sahaja kerana ia menawarkan simulasi perlumbaan yang realistik, malah turut mempunyai pelbagai pilihan jentera berprestasi tinggi dari pengeluar-pengeluar yang terkemuka.


Kini, pemain Gran Turismo Sport di seluruh dunia berpeluang ‘mengemudi’ satu lagi jentera unik yang baru diperkenalkan iaitu Mazda RX-Vision GT3. Ia sedia untuk dimuat turun ke konsol PS4 bermula 22 Mei.


Bagi peminat Mazda yang sentiasa mengikuti perkembangan jenama itu, RX-Vision GT3 bukanlah sesuatu yang asing kerana ia sebenarnya berasaskan kereta konsep RX-Vision yang diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2015.


Versi GT3 ini menampilkan enjin ‘rotary’ 4-rotor Skyactiv-R berkapasiti 2,600 cc yang terletak pada bahagian hadapan. Di atas kertas, enjin aspirasi natural terbabit menghasilkan 570PS pada 9,000rpm dan 540Nm pada 7,500rpm yang disalurkan ke roda belakang.


RX-Vision GT3 mempunyai ukuran panjang 4,590mm, lebar 2,075mm dan tinggi 1,120mm dengan jarak roda sepanjang 2,700mm. Berat keseluruhan jentera ini agak rendah iaitu 1,250kg dengan nisbah agihan berat depan dan belakang 48:52. Sementara itu, sistem suspensi yang digunakan terdiri daripada ‘double wishbone’ pada gandar hadapan dan ‘multilink’ pada gandar belakang.


Sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-100 dan pelancaran jentera lumba maya ini, Mazda akan mengadakan dua acara istimewa di dalam permainan Gran Turismo Sport iaitu Time Trial Challenge dan peraduan mereka bentuk livery untuk RX-Vision GT3.