Sebagai seorang manusia yang memandu kenderaan setiap hari, kita tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Sama ada ia disengajakan atau tidak, sesetengah dari kesilapan ini sebenarnya boleh dielakkan, termasuklah mengisi minyak yang salah.

Ia mungkin kedengaran pelik, namun kesilapan ini sebenarnya biasa berlaku. Menurut kajian Automobile Association, ia dilakukan setiap tiga minit setengah di United Kingdom.

Memandu kenderaan yang anda kurang biasa, sama ada dipinjam atau disewa, serta memandu di luar negara adalah antara contoh mengapa ia boleh berlaku.

Mengisi minyak petrol ke dalam enjin diesel mempunyai kesan lebih teruk jika dibandingkan dengan minyak diesel ke dalam enjin petrol.

Bagaimanapun ia lebih kerap berlaku kerana nozel pam petrol adalah lebih kecil berbanding lubang tangki minyak kenderaan diesel.

Sebaik sahaja petrol dan diesel yang sedia ada di dalam tangki bertemu, campuran ini boleh menyebabkan kerosakan kritikal terhadap sistem bahan api kenderaan termasuk enjin diesel ‘common-rail’ yang moden. Lebih teruk lagi, anda mungkin memerlukan enjin dan tangki baru.

Tetapi jangan risau kerana selagi anda tidak menghidupkan enjin, masalah ini boleh diselesaikan dengan kos yang jauh lebih rendah.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menukar gear kepada kedudukan neutral dan tolak kereta anda ke tempat lain.

Di sini anda akan memerlukan bantuan professional untuk mengeluarkan campuran itu dari tangki minyak.

Jika anda ambil risiko untuk memandu kereta ke bengkel, anda akan menyedari betapa besarnya kesilapan anda dalam hanya beberapa saat.

Oleh kerana nozel pam diesel selalunya lebih besar berbanding lubang tangki minyak petrol, kesilapan ini jarang dilakukan. Namun jika ianya berlaku juga, pastikan anda tidak menghidupkan enjin dan dapatkan bantuan profesional dengan segera.

Mengelakkan kesilapan yang memalukan ini adalah mudah. Jangan hanya lihat warna pam, pastikan anda juga membaca segala maklumat yang terdapat padanya.

Cari kata kunci seperti seperti “diesel” atau “gasoline”. Anda juga boleh memastikan jenis bahan api dengan melihat label yang terdapat pada penutup tangki minyak.