Tempatan

Art of Speed 2019 lebih gempak! Hadiah cabutan bertuah Mini Cooper dengan enjin Suzuki Hayabusa

gempak
Erywan
11/07/2019
06:32 MYT
Sponsor Banner
Art of Speed 2019 lebih gempak! Hadiah cabutan bertuah Mini Cooper dengan enjin Suzuki Hayabusa
Setiap tahun pada Julai, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pastinya akan dipenuhi dengan kenderaan ubah suai dan restorasi berikutan acara Art of Speed yang kini sudah memasuki tahun kelapan.
Dijangka lebih 40,000 pengunjung bakal memeriahi Art of Speed 2019 yang diadakan dua hari bermula 27 Julai ini.
Pada tahun ini, penganjur akan terus meneruskan misi yang sama untuk memberi inspirasi kepada komuniti tempatan dengan membawa masuk kenderaan vintaj dan ubah suai dari luar negara.
Beberapa motosikal KQQL dan sebuah kereta daripada negara Jepun akan dipamerkan seperti Heiwa Motorcycle dengan membawa BMW R9T Kustom, Moon Of Japan menerusi Ford Falcon Sedan Delivery “PANTASTIC” dan Hot Dock Custom Cycles menampilkan FL Harley-Davidson buatan 1948.
Selain itu, Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 yang dikuasakan oleh Petronas akan menyaksikan tujuh pembina khas untuk merebut hadiah RM10,000 berdasarkan pemilihan juri dan RM5,000 bagi pilihan awam.
Menariknya, Hot Wheels akan berada di AOS 2019 dengan kehadiran Pengurus Reka Bentuk Global Hot Wheels (Segmen Premium dan Koleksi), Steve Vandervate.
Beliau akan melancarkan siri “Japan Historics 3”, yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 di bawah tema “Legendary Japanese Cars”.
Pada masa sama, Nissan Skyline R31 bersaiz sebenar dan Honda City Turbo II akan dipamerkan bersama dengan prototaip “diecast” untuk tatapan pengunjung.
Bagi melengkap acara itu, seorang pemenang cabutan bertuah yang diadakan pada 28 Julai 2019 akan membawa pulang dengan Mini Cooper yang telah diubah suai dengan enjin Suzuki Hayabusa oleh FNG Works.
Pemenang kategori motosikal dan kereta Best of Show akan memenangi pakej percutian dan hadir ke acara tahunan MOONEYES Yokohama Hot Rod and Custom Show ke-28 pada Disember ini. Peminat model vintaj pula boleh menyaksikan koleksi bernilai hampir RM2 juta di Dewan C, membabitkan 16 vendor dijemput khas untuk memeriahkah AOS 2019.
AOS 2019 akan memperkenalkan lorong pantas (Speed Lane) untuk pembelian tiket ke acara itu yang dibuka sejam lebih awal bermula jam 10 pagi, berharga RM50 untuk dua hari. Pengunjung juga dapat menikmati satu jam masa tambahan di Dewan Utama dan Dewan C.
Pemegang tiket Speed Lane juga layak masuk konsert Sound Circus di luar dewan. Tiket hujung minggu pula (tanpa konsert Sound Circus) berharga RM20 sahaja.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024