Selepas bertahun-tahun memberikan gambar acah, Aspark Owl akhirnya tiba. Kereta hypercar elektrik Jepun itu dikatakan paling pantas di dunia.

Owl didakwa boleh capai kelajuan 96 kilometer sejam dalam masa 1.69 saat sebelum ia mencapai kelajuan maksimum 400km sejam.

Daya penggerak Owl ialah empat unit motor elektrik yang bergabung lalu menghasilkan 1,985hp atau 1,480 kilowatt. Tork maksimum yang boleh diperah ialah 2,000 Nm.

Model Owl menggunakan satu pek bateri litium ion 64-kilowatt sejam dan dikatakan membolehkan pemanduan sejauh 450 kilometer dalam ujian NEDC. Aspark juga menyatakan ada pek bateri lebih besar akan ditawarkan kelak.

Aspark mahu aspek luaran Owl mencerminkan sifat feminin. Sebab itu, badannya kelihatan lebih lembut alunannya berbanding hypercar lain.

Semua panel diperbuat menggunakan gentian karbon yang diperkukuh dengan plastik kecuali kerangka keluli tahan karat dalam bumbung. Ini untuk memberi sokongan tambahan.

Ketinggian hypercar itu cuma 99 sentimeter. Ia menggunakan monokok gentian karbon dengan berat 120 kilogram.

Owl menggunakan sistem suspensi berkembar wishbone. Sistem perendam hidraulik menawarkan tiga mod antara 80 milineter (mm) hingga 160mm untuk kelegaan bumi.

Brek cakera jenis seramik yang digunakan dikepit angkup 10 omboh di hadapan manakala bahagian belakang dikawal oleh angkup empat omboh.

Aspark tidak mendedahkan ruangan dalaman Owl. Apa yang dapat dilihat ialah ada empat skrin paparan didalamnya. Dua skrin bersambung kepada kamera pandang belakang yang dipasang pada cermin pandang sisi.

Aspark akan membina hanya 50 unit Owl dengan harga €2.9 juta setiap satu. Penghantaran dijadualkan pada suku kedua 2020.