Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

Aston Martin V12 Speedster, Kereta Tanpa Cermin Depan 700hp

Erywan 16/03/2020 | 03:50 MYT
Aston Martin banyak mencipta pelbagai kereta edisi terhad yang cukup menarik, termasuk model sedan mewah Lagonda Taraf dan jentera trak Vulcan.
Kini, pengeluar dari Gaydon itu mahu menambah senarai dengan mempertaruhkan V12 Speedster iaitu model yang dibangunkan oleh divisi khas Q by Aston Martin.
Masa yang diambil untuk bina model ini ialah 12 bulan dengan mencampur elemen dari model DBS Superleggera dan Vantage bagi membentuk satu pakej unik.
Aspek gayaan pula menyaksikan gabungan gaya lama dan era baharu membabitkan DB3S tahun 1953, DBR1 tahun 1959 dengan model konsep CC100 Speedster 2013.
Kereta mewah ini dijual tanpa bumbung. V12 Speedster dikatakan direka sedemikian untuk membolehkan pemandu merasai pengalaman sebenar pemanduan. Malah kereta ini juga tiada cermin depan.
Rim disarung adalah sebesar 21 inci dengan kunci tengah (centerlock) manakala cakera brek jenis seramik-karbon digunakan berukuran 410 milimeter (mm) di hadapan dan 360mm untuk roda belakang.
Bagi memastikan berat tidak berlebihan, badan kereta ini diperbuat menggunakan gentian karbon. Dalam kabin terbuka itu, ada pemisah antara pemandu dan penumpang depan. Aston Martin memanggilnya tulang belakang (spine).
Ruang kabin melihatkan kombinasi material kulit, komponen krom, aluminium dan getah cetakan 3D. Ada sebuah beg kulit digunakan sebagai pengganti kotak simpanan barang pada papan pemuka.
Pembeli juga boleh menyimpan barangan lain dalam dua ruangan kargo kecil di belakang kerusi pemandu dan penumpang depan.
Speedster ini menggunakan enjin V12 berkapasiti 5.2 liter dengan sepasang pengecas turbo dan kotak gear automatik ZF lapan kelajuan untuk janaan kuasa hampir 700hp dan tork 753Nm. Hantaran kuasa disalurkan ke roda belakang dengan bantuan LSD.
V12 Speedster boleh capai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalma masa 3.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 300km/j, dihadkan secara elektronik.
Aston Martin sudah mula mengambil tempaha dan harga permulaan bagi kereta ini cuma AS$950,000 (RM3.98 juta). Pengeluaran dihadkan kepada 88 unit dan kiriman bermula suku pertama tahun depan.
;