Seorang lelaki berumur 80 tahun digantung lesen enam bulan dan didenda $1814 (RM5,490) selepas memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Lelaki yang boleh digelar sebagai ‘atok’ itu didapati memandu 182km/j di laluan had laju 80km/j.

Dia yang memandu Subaru Impreza WRX ditahan di jalan desa berhampiran Alma kira-kira satu jam dari utara bandar Adelaide, Australia.

Kenyataan polis tempatan memaklumkan bahawa berdasarkan kadar tinggi kemalangan maut di kawasan Barossa dan Mid North, gaya pemanduan sedemikian membimbangkan.

Menurutnya, pihak pemantauan lebuh raya akan terus berada di jalan utama dengan kamera had laju dan memberi perhatian khusus kepada pemandu mabuk dan yang mengambil dadah.

Australia Selatan mencatatkan 64 kematian di jalan raya sehingga kini iaitu peningkatan 12 peratus berbanding waktu yang sama tahun lalu.

Sumber: www.drive.com.au