Pelanggan jenama kenderaan mewah kebanyakannya terdiri daripada golongan berkepentingan dan bangsawan, maka tidak hairanlah jika ada sesetengah jenama terbabit menawarkan model khas yang berperisai.


Sebagai contoh, Audi memperkenalkan A8 L Security di Rusia. Sekilas pandang, model ini kelihatan sama sahaja seperti versi biasa namun hakikatnya ia mempunyai sel penumpang kalis peluru berpiawaian VR9 dan kaca dengan tahap ketahanan kelas 10.


Selain itu, sedan ini juga didatangkan dengan sistem pemadam api canggih lengkap dengan nozel pada bahagian bawah badan, gerbang roda, tangki minyak serta ruang enjin.


Di dalam kabin, terdapat sistem udara segar yang boleh mengesan kehadiran bahan pencemar di dalam kabin. Jika ini berlaku, sistem terbabit akan menutup segenap ruang kabin dan membekalkan udara bersih buat sementara waktu.


Dalam situasi kecemasan, tayar ‘run flat’ membolehkan A8 L Security meninggalkan lokasi berbahaya pada kelajuan sehingga 80km/j untuk 80km walaupun ia mengalami kebocoran.


Sekiranya pintu tidak boleh dibuka akibat kemalangan atau kerosakan, penumpang boleh melepaskan diri dengan mengaktifkan sistem peledak yang akan meletupkan engsel pintu.


Walaupun secara rasminya ia adalah model A8, kereta berperisai ini didatangkan dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 daripada model S8. Dengan hamburan kuasa sebanyak 563hp dan 800Nm, jentera seberat 3,875kg ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 6.3 saat, iaitu 2.5 saat lebih perlahan berbanding S8. Kelajuan maksimum pula dikurangkan dari 250km/j kepada 210km/j.


A8 L Security dipasang di sebuah fasiliti khas dan mengambil masa kira-kira 400 jam untuk disiapkan. Ini bermakna pelanggan perlu menunggu antara tiga hingga enam bulan sebelum kereta mereka dapat diserahkan. Ia ditawarkan pada harga bermula €690,000 (RM3.2 juta) seunit.