Antarabangsa

Audi perluaskan rangkaian SUV dengan perkenalkan SQ7 TDI

gempak
Erywan
25/07/2019
04:59 MYT
Sponsor Banner
Audi perluaskan rangkaian SUV dengan perkenalkan SQ7 TDI
Rangkaian kenderaan utiliti sukan (SUV) Audi sudah diperluaskan lagi dengan kehadiran model terbaru iaitu SQ7 TDI.
Ia dikuasakan oleh enjin yang sama seperti SQ8, ia adalah varian paling berkuasa dalam barisan Q7.
Enjin yang dimaksudkan adalah enjin diesel biturbo 4.0 liter V8 TDI yang mampu menjana kuasa sehingga 435hp dan 900Nm antara 1,250 dan 3,250rpm.
Dilengkapi dengan transmisi tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan quattro, SQ7 memerlukan 4.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j. Walaupun bersaiz besar, SUV ini mampu memecut sehingga 250 km/j.
Membantu enjin terbabit adalah sistem 48V yang ditugaskan untuk menguasakan pemampat elektrik (EPC) bagi menggerakkan dua unit pengecas turbo pada enjin itu. Audi mendakwa bahawa sistem itu membantu dalam pecutan dengan menjana tork dengan segera.
Selain quattro, ciri pengendalian lain yang disertakan pada SQ7 adalah sistem suspensi udara dan sistem stereng progresif.
Model ini turut mendapat ciri kawalan semua roda (all-wheel steering) di mana pada kelajuan rendah, tayar belakang akan bergerak sebanyak 5 darjah dalam arah berlawanan bagi menjadikan kenderaan ini lebih lincah.
Pada kelajuan lebih tinggi pula, tayar belakang akan bergerak mengikut putaran stereng bagi mendapatkan lebih kestabilan.
Turut disertakan adalah Sport Differential yang ditugaskan untuk membahagikan kuasa antara tayar belakang ketika kenderaan mengambil selekoh dengan laju.
Pelanggan juga boleh mendapatkan pakej suspensi lebih canggih yang merangkumi ciri Active Roll Stabilization bagi mengurangkan olengan badan serta gegaran ketika memandu di atas permukaan tidak rata.
Aspek penampilan turut diberi sentuhan segar dan seperti model-model S yang lain, SQ7 mendapat komponen-komponen seperti jeriji Singleframe, cermin sisi aluminium dan empat muncung ekzos. Rim bagi model ini adalah bersaiz 20 inci.
Di dalam, SQ7 mendapat tempat duduk sport dengan kemasan kulit dan Alcantara, serta kemasan aluminium pada papan pemuka. Turut ditawarkan adalah kemasan karbon dan pakej pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live