Dua tahun lalu, Audi memperkenalkan R8 versi pacuan roda belakang yang dikenali sebagai R8 V10 RWS (Rear Wheel Series).

Ia dilihat sebagai alternatif menarik bagi mereka yang ingin pengendalian yang lebih lincah, namun sayangnya hanya 999 unit ditawarkan.

Kini, Audi kembali dengan penawaran yang sama menerusi model terbarunya iaitu R8 V10 RWD. Tetapi tidak seperti RWS yang hadir sebagai model edisi terhad, RWD akan kekal menjadi sebahagian daripada barisan R8.

Hadir dalam versi Coupe dan Spyder, R8 V10 RWD tampil dengan enjin aspirasi natural 5.2-liter V10 yang menghasilkan 540PS dan 540Nm.

Transmisi automatik S-tronic tujuh kelajuan dan differential mekanikal membantunya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.7 saat serta mencapai kelajuan maksimum 320km/j bagi versi Coupe.

Dengan berat tambahan sebanyak 100kg dari penggunaan mekanisma bumbung lipat, versi Spyder melakukan pecutan yang sama dalam 3.8 saat dan boleh memecut sehingga 318km/j.

Menurut Audi, kelebihan pacuan roda belakang adalah pemandu boleh melakukan aksi ‘drift’ terkawal dengan hanya mengaktifkan mod Sport selari dengan Electronic Stabilization Control (ESC).

Model ini memakai rim tempaan berukuran 19 inci dengan tayar 245/35 di hadapan dan 295/35 di belakang. Untuk tahap cengkaman yang lebih tinggi, pelanggan boleh memilih rim 20 inci.

Seperti varian R8 yang lain, R8 V10 RWD menggunakan badan Audi Space Frame (ASF) yang diperbuat daripada aluminium serta pelbagai komponen CFRP.

Pengeluaran model ini dilakukan di kemudahan “Böllinger Höfe” di Neckarslum. Ia akan memasuki pasaran Eropah bermula tahun hadapan dengan harga EUR144,000 (RM657,097) bagi versi Coupe dan EUR157,000 (RM716,419) bagi versi Spyder.