Persaingan dalam segmen crossover berprestasi tinggi kini menjadi semakin hangat dengan kehadiran pesaing terbaru iaitu Audi RS Q3.

Model itu ditawarkan dalam bentuk badan standard dan coupe yang dikenali sebagai Sportback.



Seteru kepada BMW X4 M ini tampil dengan 400hp dan 480Nm dari enjin TFSI 2.5 liter lima silinder yang sudah ditambah baik dengan pelbagai komponen aluminium, menjadikannya 26kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Terima kasih kepada transmisi S-tronic tujuh kelajuan dan sistem pacuan quattro, hanya 4.5 saat diperlukan untuk jentera ini memecut dari 0 hingga 100km/j. Kelajuan maksimum pula adalah 250km/j atau 280km/j dengan Performance Pack.



Antara kelengkapan standard yang disertakan adalah sistem Drive Select dengan enam mod pemanduan termasuk RS Mode dengan profil RS1 dan RS2, sistem stereng progresif dan sistem suspensi RS sport yang lebih rendah sebanyak 10mm.

Sebagai pilihan, pelanggan boleh mendapatkan sistem suspensi RS sport plus dengan peredam adaptif Dynamic Chassis Control (DCC) dan sistem brek seramik serta padanan cakera berukuran 380mm untuk gandar hadapan.



Berbeza dengan Q3 biasa, RS Q3 tampil dengan badan yang lebih lebar, lubang ambilan udara yang besar pada bahagian bampar, jeriji Singleframe dengan kemasan hitam berkilat dan corak honeycomb.

Di belakang, muncung ekzos berkembar berbentuk bujur adalah satu daripada elemen RS yang ditampilkan pada model itu. RS Q3 Sportback tampil 45mm lebih rendah berbanding versi standard, dengan rekaan spoiler dan bampar belakang yang berbeza.



Masuk ke bahagian dalam, kedua-dua model menawarkan upholsteri kulit dan Alcantara lengkap dengan logo ‘RS’ pada tempat duduk. Jahitan didatangkan dalam warna hitam sebagai standard namun juga boleh didapati dalam warna merah atau biru.

RS Q3 dan RS Q3 Sportback akan memasuki pasaran Eropah bermula hujung tahun ini, masing-masing dengan harga 63,500 (RM290,757) Euro dan 65,000 Euro (RM297,625).