Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aveta Ranger 110 Model Baharu Aveta Global Marketing Untuk Pasaran Malaysia

Erywan
10/12/2020 08:44 MYT
Aveta Global Marketing Sdn Bhd (Aveta), akhirnya melancarkan model terbaharu iaitu Aveta Ranger 110 di pasaran tempatan.

Model ketiga dari Aveta Global Marketing ini dijual pada harga RM3,546 atas jalan termasuk insurans. Ia kini sudah mula diedarkan kira-kira 70 wakil jualan di seluruh negara.


Aveta Ranger 110 dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD di kilangnya di Setia Alam selain dua model lain iaitu DY90 dan RX110 juga turut dipasang di kilang sama.

Aveta Ranger 110 menggunakan spesifikasi enjin empat lejang satu silinder yang bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp pada 7,500rpm dengan tork maksimum 9Nm pada 5,500rpm.


Menggunakan pemacuan rantai dengan empat kelajuan di samping kapasiti tangki 3.5 liter. Menggunakan sistem penghidup elektrik dan enjutan dengan sistem pencucuh CDI, manakala dimensi Aveta Ranger 110 ialah 1850 mm x 660 mm x 1070 mm. Aveta Ranger 110 menggunakan saiz tayar 2.25 - 17 (depan) dan 2.50 - 17 (belakang) dengan menggunakan sistem brek drum depan dan belakang.

Ujian tunggangan sudah dilakukan terhadap Aveta Ranger 110 dan dipercayai memenuhi spesifikasi kenderaan cekap tenaga. Selain dari model Aveta Ranger 110, Aveta Global Marketing dipercayai sedang menguji beberapa model baharu lagi untuk diperkenalkan ke pasaran tempatan yang dijangka diperkenalkan tahun 2021.


Ketika ini masih belum dapat dipastikan model dan sesaran motosikal yang akan diperkenalkan kerana ia masih diperingkat akhir bagi pengkelasan.

#Aveta
;