Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aveta Ranger Bakal Menjengah Pasaran November Ini

Erywan
28/10/2020 06:44 MYT
Aveta Global Marketing Sdn Bhd (Aveta) yang bakal mencapai setahun kelahirannya di pasaran motosikal November ini bakal memperkenalkan model baharu sebagai taruhan terbarunya.

Model baharu itu yang bakal menjengah pasaran tempatan ialah Aveta Ranger 110 yang dijangka dijual sekitar RM3,500 (harga atas jalan) tanpa insurans.

Sebelum ini Aveta melancarkan dua model asas untuk pasaran tempatan iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Buat masa ini dua model terbabit menjadi asas kepada Aveta Global Marketing untuk menembusi pasaran tempatan dan diberitakan ketika ini sudah menjual hampir 5,000 buah motosikal DY90 dan RX110 sehingga kini.


Kedua-dua model berkenaan dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD di kilangnya di Lembah Klang dan model Aveta Ranger juga turut dipasang di kilang sama.

Dikatakan Ranger ini lebih disasarkan kepada gaya hidup dan keselesaan. Ia menggunakan spesifikasi enjin empat lejang satu silinder yang bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar.


Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp pada 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm pada 6,500rpm. Ujian tunggangan dilakukan terhadap Aveta Ranger dan dipercayai sudah memenuhi spesifikasi kenderaan cekap tenaga.

Selain itu, Aveta Global dipercayai sedang menguji beberapa model baharu lagi untuk diperkenalkan ke pasaran tempatan yang dijangka Disember ini. Masih belum dapat dipastikan model dan sesaran motosikal yang akan diperkenalkan kerana ia masih diperingkat akhir bagi pengkelasan.

Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang pengesahan diperolehi dari pihak AVETA yang dilihat mengunci mulut berkaitan kesahihan terbabit.

#Aveta
;