Pengeluar komponen selepas pasaran Jepun, Liberty Walk melakukan kustom pada model sport dua pintu Daihatsu Copen yang berubah menjadi jentera prestasi tinggi Nissan GT-R R35.


Penampilannya memang mirip Baby Godzilla menerusi pemasangan gril motion V tertera lencana GTR yang begitu sinonim dengan syarikat Jepun berkenaan.


Kemudian luaran badan disembur cat merah dan putih dengan padanan overfender yang boleh dikatakan agak radikal dan turut dipadankan suspensi udara. Rasanya tidak pernah ada lagi model kustom dibangunkan sedemikian rupa dengan tema merah dan putih.


Bagaimanapun, imej jentera kustom itu lebih lebar dan penggunaan kerangka monokok yang dinamakan frem D membuatkan kereta lebih kukuh tiga kali ganda dan pengendalian lebih selesa.


Menggunakan kit GT-K menelan belanja sebanyak 415,800 yen (RM16,358) yang merangkumi rim aluminium besar, suspensi udara serta warna itu. Jentera acah Godzilla itu didatangkan dengan rangkaian kuasa 660cc tiga silinder dengan kuasa 63hp.